Pegawai polis membawa keluar kotak dipercayai mengandungi pelbagai jenis dokumen selepas selesai serbuan. FOTO Nur Azizah Mokhtar
Norizuan Shamsuddin


POLIS menyerbu sebuah firma audit, Deloitte Malaysia di Bangunan LGB, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur hari ini.

Difahamkan serbuan itu dilakukan untuk membantu siasatan berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang dilihat masuk ke Bangunan LGB yang menempatkan pejabat syarikat itu pada 10.45 pagi.

Difahamkan, pasukan itu turut memeriksa pelbagai dokumen dan fail di pejabat terbabit untuk siasatan.

Pasukan serbuan itu keluar dari bangunan berkenaan 5.55 petang ini dengan membawa 11 kotak dokumen.

Sementara itu Pemangku Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya melakukan serbuan di syarikat itu.

“Serbuan dilakukan bagi memeriksa dan merampas beberapa dokumen berkaitan siasatan 1MDB,” katanya.

Difahamkan, Deloitte Malaysia adalah firma audit pertama yang disiasat polis berhubung skandal 1MDB.

Bagaimanapun, Deloitte PLT yang beribu pejabat di United Kingdom pernah disiasat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berhubung pembabitan mereka dalam skandal 1MDB, Januari lalu.

SC dilaporkan mengenakan celaan dan penalti RM2.2 juta terhadap firma itu bagi empat kesalahan berkaitan dengan terbitan Program Sukuk Murabahah bernilai RM2.4 bilion, yang diterbitkan oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) pada 2014.

Deloitte dilantik sebagai juruaudit berkanun bagi BMSB dan 1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE) untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015 sehingga 2016.

1MDB RE, kini dikenali sebagai TRX City Sdn Bhd, adalah salah satu pembekal perkhidmatan keselamatan bagi Program Sukuk Murabahah dan syarikat induk bagi BMSB.

1MDB adalah syarikat induk bagi 1MDB RE dan BMSB.

Deloitte didapati melanggar peraturan di bawah Seksyen 276 (3) (b) Akta Pasaran dan Perkhidmatan Modal 2007 (CMSA).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 5:58 PM