UMRAH, 34, menemani anaknya membuat kad pengenalan di Pejabat Pendaftaran Negara, Masjid Tanah.
Mohd Hilmie Hussin dan Nur Saliawati Salberi dan Hassan Omar


ALOR GAJAH: Seramai 11 individu termasuk remaja yang tidak pernah menimba ilmu di sekolah kerana tidak memiliki kad pengenalan menerima hadiah paling bermakna apabila dianugerahkan MyKad, Jumaat lalu.

Individu berkenaan membabitkan lima lelaki dan enam perempuan menerima dokumen berkenaan yang diserahkan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, Norazle Sulaiman di kediaman masing-masing di Lubok Cina, dekat sini.

Kegembiraan jelas terpancar pada wajah mereka apabila menerima dokumen itu berikutan permohonan mendapatkan MyKad dikemukakan ibu masing-masing yang juga dua beradik dan sepupu mereka yang tidak mendaftarkan kelahiran anak diluluskan.

Mereka bersama seorang lagi saudara yang mahu dikenali sebagai Ayub (bukan nama sebenar, 10) tidak dapat bersekolah sejak kecil berikutan tidak memiliki dokumen pengenalan diri termasuk sijil kelahiran.

Bagaimanapun penantian 12 bersaudara itu mendapat bukti kerakyatan tercapai apabila mereka menerima sijil kelahiran masing-masing di Pejabat Pendaftaran Negara, Masjid Tanah, 25 April lalu.

Seorang daripada tiga ibu terbabit, Rahmah (bukan nama sebenar), 39, bersyukur kerana usaha mendapatkan MyKad untuk empat anaknya dipermudahkan Tuhan selain berterima kasih kepada JPN dan Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsuddin yang sudi membantu.

“Empat anak saya berusia antara 14 hingga 18 tahun tidak didaftarkan ketika kelahiran mereka dan saya berterima kasih kepada pihak yang membantu,” katanya yang enggan mengulas lanjut punca dia tidak mendaftarkan kelahiran anaknya.

Dua anak kakaknya, Asmah (bukan nama sebenar), 41, yang berusia 16 dan 18 tahun turut menerima MyKad masing-masing di majlis yang sama.

Di majlis sama, sepupu mereka, Ayu (bukan nama sebenar), 48, turut hadir menyaksikan lima anaknya yang berusia 13 hingga 21 tahun menerima MyKad masing-masing.

“Alhamdulillah, berkat bantuan Datuk Mas Ermieyati, anak saya dan anak Rahmah serta Asmah yang tidak pernah bersekolah kerana tidak memiliki MyKad dan sijil kelahiran mempunyai peluang mendapatkan pekerjaan yang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

“Disebabkan mereka tidak boleh ke sekolah, jadi saya mengajar mereka mengaji, membaca serta mengira. Dengan cara itu, anak dapat mengenal huruf,” katanya.

Sementara itu, Norazle berkata, JPN memproses permohonan daripada ibu masing-masing mendapatkan MyKad mereka pada 26 April lalu.

“JPN memproses daftar lewat kelahiran mereka dengan mengeluarkan sijil kelahiran sebelum memberikan MyKad kepada lapan orang yang berusia lebih 16 tahun dan tiga orang berumur kurang 16 tahun.

“Dengan adanya MyKad ini, kami serahkan kepada keluarga masing-masing untuk membuat tindakan susulan aspek pembelajaran mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 6:00 AM