WIDAYATI bersama anak kembar tiga, suami dan anak sulung di kediaman keluarga di Bukit Indah, Johor Bahru.
Mary Victoria Dass


JOHOR BAHRU: “Saya hanya perlu kejutkan seorang saja kerana selepas itu dua lagi ikut bangun sekali,” kata suri rumah, Widayati Abas, 44, ketika berkongsi pengalaman menguruskan tiga anak kembar seiras lelaki kini berusia 12 tahun dengan dua daripada mereka adalah anak syurga.

Dia yang menetap di Taman Bukit Indah di sini, antara peserta Program Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF) ditubuhkan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Widayati berkata, Zaheen Aliff disahkan normal namun Zaheen Afiff dan Zaheen Aqiff mengalami masalah gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD).

Katanya, meskipun mengalami masalah ADHD Zaheen Afiff dan Zaheen Aqiff tetap menjalani dan memahami ibadat puasa sama seperti Zaheen Aliff.

Berkongsi pengalamannya wanita ini berkata, tidak sukar menguruskan keperluan kembar berkenaan kerana mereka bangun bersahur, berpuasa dan berbuka sama seperti umat Islam lain.

“Mereka rajin bantu saya buat persediaan berbuka seperti menyusun pinggan, mangkuk dan hidangan atas meja.

“Tiga beradik ini gemar makan nasi, mi, pasta dan lauk-pauk pedas atau berempah. Malah mereka juga ke masjid menunaikan solat sunat Tarawih,” katanya.

Wanita ini berkata, meskipun Zaheen Afiff dan Zaheen Aqiff tidak dapat menunaikan solat sunat Tarawih dengan sempurna, namun mereka tetap ke masjid.

Menurutnya, bagi pilihan baju raya pada kebiasaannya dia akan memberikan cadangan warna baju Melayu agar sedondon dengan kembar berkenaan, suami dan anak sulungnya berusia 19 tahun.

“Tahun lalu mereka memilih baju warna hijau dan kali ini warna merah jadi pilihan mereka. Saya ikutkan saja asalkan mereka gembira,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan pasangan kembarnya itu, dia dan suaminya, Zulkifflee Osman, 53, membelanjakan RM600 hingga RM700 bagi setiap seorang.

Menurutnya, biarpun Zaheen Afiff dan Zaheen Aqiff anak syurga, dia dan suami sedaya upaya memastikan mereka menikmati kemeriahan Aidilfitri seperti ahli keluarga lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 7:30 AM