PAPAN tanda amaran obor-obor di pasang APM Langkawi sekitar Pantai Cenang supaya berhati-hati ketika mandi di situ. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI warga Jerman cedera di bahagian tangan kanan, dada, belakang badan dan muka selepas disengat obor-obor ketika mandi di Pantai Cenang, di Langkawi, semalam.

Dalam kejadian 3.10 petang itu, mangsa, Robin Scusler, 24, sedang mandi di kawasan pantai berkenaan dan tiba-tiba terasa pedih menyebabkan dia mendapatkan bantuan di menara penyelamat pantai pada 3.12 petang.

Pegawai Bencana, Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearel berkata, dua anggotanya kemudian membantu menyembur cuka di bahagian luka untuk mengelakkan kesan luka itu merebak selain menenangkan mangsa dari menahan sakit.

Azamshah berkata, pengunjung yang mandi di kawasan Pantai Cenang dan pantai berhampiran dinasihatkan lebih berhati-hati dengan kehadiran obor-obor yang boleh mendatangkan luka sekiranya disengat.

“Disebabkan itu kita nasihatkan pengunjung supaya mandi dalam kawasan renang (swimming area) yang di sediakan supaya lebih selamat dari ancaman obor-obor atau ikan pari.

“Anggota kami yang bertugas di menara penyelamat pantai turut meletakkan papan tanda di sekitar kawasan pantai untuk memastikan pengunjung mematuhi arahan dan tidak mandi di luar kawasan renang yang di sediakan,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu Azamshah berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran lebih ramai pengunjung untuk bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini untuk mandi di kawasan Pantai Cenang yang sememangnya menjadi tumpuan pelancong.

Dalam pada itu, beliau akan menambah bilangan anggota untuk melakukan rondaan dan pemantauan lebih kerap sepanjang minggu ini bagi mengawasi keselamatan pengunjung di kawasan pantai.

Beliau berkata, setakat ini setiap menara penyelamat pantai mempunyai enam anggota dan akan ditambah dua orang lagi untuk menjalankan rondaan di kawasan Pantai Cenang, Pantai Tengah, Pulau Payar dan berhampiran Hotel Pelangi di Cenang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 12:01 PM