Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


KETUA Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador memberi jaminan keselamatan Low Taek Jho atau Jho Low jika ahli perniagaan dalam buruan itu pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, jaminan keselamatan sama juga akan diberikan kepada keluarga ahli perniagaan itu serta kepada enam lagi individu yang kini dikehendaki pihak berkuasa berhubung siasatan sama.

Katanya, polis mengetahui lokasi semua individu berkenaan dan jaminan keselamatan itu diberikan bagi memberi peluang membuktikan mereka tidak bersalah.

“Sebelum ini tersebar konon mereka akan diseksa dan dibunuh jika ditahan polis.

“Jadi di sini saya sendiri memberi jaminan keselamatan bahawa polis tidak akan mengapa-apakan mereka jika mereka pulang.

“Malah saya memberi jaminan mereka mempunyai hak untuk mendapatkan peguam terbaik bagi membuktikan mereka tidak bersalah,” katanya selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 15 Sempena Aidilfitri 2019 di Menara TM hari ini.

Abdul Hamid berkata, jika semua individu itu tidak pulang ke negara ini bagi memberikan kerjasama membantu siasatan 1MDB, polis akan memburu dan yakin dapat menangkap mereka.

Katanya, Jho Low juga tidak perlu bersembunyi dan menggunakan peguamnya untuk memberikan sebarang kenyataan bagi membela dirinya.

“Jadi saya menggalakkan Jho Low untuk balik dan buktikan dia tidak bersalah.

“Kes 1MDB menjadi keutamaan saya agar siasatan dapat diselesaikan serta kes dapat dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Sementara itu menjawab mengenai usaha mengesan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil yang turut menghilangkan diri, Abdul Hamid berkata, polis juga mengetahui lokasi individu itu.

Sementara itu, mengulas mengenai serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di firma audit, Deloitte Malaysia di Taman Tun Dr Ismail semalam, beliau berkata, polis berjaya merampas beberapa dokumen penting mempunyai kaitan dengan siasatan 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 12:44 PM