GOBIND bersalaman dengan Adly ketika kunjungan di Seri Negeri. FOTO Bernama
Fairuz Zaidan dan Amir Mamat

MELAKA dipilih menjadi tuan rumah bagi pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019 yang dijadualkan 3 Ogos ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, setakat ini tiga lokasi sudah dikenal pasti sebagai tempat pelancaran program iaitu di Dataran Pahlawan, Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir.

“Ketiga-tiga lokasi ini masih di dalam peringkat perbincangan membabitkan pihak kementerian, pihak keselamatan dan kerajaan negeri.

“Dalam pada itu, kerajaan negeri turut mencadangkan satu lagi lagi lokasi baharu iaitu di Dataran Klebang, di mana kita sedia mempertimbangkan cadangan berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Gobind mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Adly Zahari, di Seri Negeri, hari ini. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan dan EXCO Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee.

Mengulas lanjut program sambutan yang bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih,’ Gobind berkata, pemilihan Melaka sebagai lokasi pelancaran itu adalah berdasarkan faktor sejarah di mana negeri ini menjadi lokasi pengisytiharan kemerdekaan negara.

“Majlis sambutan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019 yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Lebih 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan yang akan bermula 2 petang sehingga 12 tengah malam,” katanya.

Sementara itu, Gobind berkata, Kementerian berusaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat menerusi Kempen Kibar Jalur Gemilang.

Beliau yang mengakui kempen berkenaan masih kurang mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat, bagaimanapun bertekad untuk mempergiatkan kempen itu khususnya di peringkat akar umbi.

“Kementerian menyedari masih kurang sambutan terhadap kempen kibar Jalur Gemilang. Sebab itu, kita tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan usaha lebih awal kempen kibar Jalur Gemilang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 2:22 PM