ABDUL Hamid (dua, kiri) pada majlis Pelancaran Op Selamat 15/2019 Sempena Aidilfitri. FOTO Bernama
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


KETUA Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador memberi amaran kepada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bersekongkol dengan sindiket judi dan maksiat untuk menghentikan segera perbuatan sedemikian.

Beliau berkata, mereka tidak akan terlepas daripada tindakan tegas termasuk tindakan undang-undang jika dikesan berkomplot dengan ketua serta anggota sindiket berkenaan.

Katanya, pegawai serta anggota berkenaan dinasihatkan untuk mengingati semula ikrar mereka ketika memasuki pasukan polis bagi menegakkan undang-undang.

“Selagi mereka belum memakai baju jingga (baju lokap) dan digari tangan mereka, ia masih belum terlambat.

“Nasihat saya, hentikan segera ‘connection’ (hubungan) dengan sindiket judi dan maksiat kerana saya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang unsur rasuah dalam pasukan,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Op Selamat 15 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Rosli Ab Rahman; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Bukit Aman Datuk Azisman Alias; dan Pengerusi Telekom Malaysia Berhad, Rosli Man.

Abdul Hamid berkata, beliau turut sedih apabila beberapa pegawai serta anggota pasukannya terbabit jenayah terutama apabila ia dilakukan di bulan Ramadan.

Beliau berkata, perbuatan mereka itu mencalar imej polis namun mengingatkan bahawa masih ramai pegawai serta anggota pasukan berkenaan yang baik dan tidak dapat menerima perbuatan individu terbabit.

“Memang perkara ini menyedihkan saya kerana ia dilakukan dalam bulan Ramadan dan mencalar imej pasukan polis.

“Bagaimanapun, tindakan pantas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRMmenahan mereka memberi mesej jelas bahawa kelakuan jenayah oleh pegawai dan anggota polis tidak akan dipandang ringan.

“Kita akan ambil tindakan, jika sebelum ini mungkin kes seumpamanya kita akan rakam keterangan dan kemudian bebaskan dengan jaminan, namun sekarang kita tahan dan reman mereka untuk dijalankan siasatan,” katanya.

Selasa lalu, dua pegawai berpangkat inspektor, lima anggota polis lain-lain pangkat serta empat orang awam ditahan kerana menyamun pengurup wang dalam kejadian 4.40 petang Ahad lalu.

Dalam laporan polis dibuat pemilik syarikat berkenaan, pengadu mendakwa didatangi sembilan lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Bahagian Jenayah Perdagangan Bukit Aman serta pegawai BNM.

Mereka kemudian meminta mangsa membayar RM200,000 jika mahu dibebaskan dan pengadu yang ketakutan kemudian menyerahkan wang yang dipinta sebelum membuat laporan polis.

Kesemua suspek berusia antara 31 tahun hingga 41 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan serta menyamar sebagai anggota polis.

Sementara itu, Abdul Hamid juga memberi jaminan pegawai dan anggota yang mengamalkan integriti yang tinggi akan diberikan ganjaran.

Katanya, mereka juga akan dinaikan pangkat serta merta sekiranya menolak rasuah namun ia bergantung kepada jenis kes.

“Nasihat saya juga kepada orang ramai jangan sesekali menawarkan rasuah kepada polis serta agensi penguat kuasa yang lain, jika berdegil mereka akan ditangkap oleh pegawai dan anggota polis.

“Untuk pegawai dan anggota polis yang menolak rasuah ini, mereka akan diberikan surat penghargaan dan kenaikan pangkat dengan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 2:28 PM