Rokok seludup yang dirampas polis dalam operasi di Shah Alam Rabu lalu. FOTO Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menahan lima lelaki dan merampas 43,500 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai lebih RM7 juta dalam operasi di Shah Alam, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman AwaM (KDNKA) Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, operasi dijalankan Bahagian Perisikan dan Siasatan Khas KDNKA Bukit Aman itu berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran rokok seludup di Lembah Klang.

“Lima lelaki berusia 38 hingga 46 tahun ditahan. Hasil pemeriksaan dua daripadanya ada rekod jenayah lampau.

“Susulan penahanan kumpulan lelaki itu, polis merampas 43,500 karton rokok seludup pelbagai jenama,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Acryl Sani berkata, nilai rampasan rokok selepas cukai ditaksirkan berjumlah RM7.1 juta.

“Turut dirampas empat lori, satu kenderaan pelbagai guna (MPV), dua kereta dan satu forklift.

“Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 3:40 PM