Orang ramai memilih ikan segar yang dijual pada potongan harga sehingga 50 peratus. FOTO Shahrinnahar Latib
Orang ramai memilih ikan segar yang dijual pada potongan harga sehingga 50 peratus. FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib


TIDAK sampai 15 minit, 300 kilogram ikan segar yang ditawarkan potongan harga sehingga 50 peratus habis terjual pada Promosi Jualan Ikan di Pasar Nelayan Sepat, Kuantan hari ini.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, kebanyakan pengunjung membeli ikan tongkol pada sesi penjualan ikan segar itu.

“Promosi (penjualan ikan) ini adalah antara usaha meringankan beban pengguna mendapatkan atau membeli barangan keperluan seharian.

“Hari ini, kita dapat lihat penduduk setempat mengambil kesempatan membeli ikan dijual secara terus oleh nelayan,” katanya ditemui pada program berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, antara ikan dijual adalah bawal hitam, cencaru, kerisi, pelaling, sotong dan ikan tongkol.

“Saya juga difahamkan Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Pahang menyumbangkan ikan bagi tujuan jualan murah dengan kerjasama nelayan di sini,” katanya.

Sementara itu, pembeli Azizah Abu Bakar, 57, berkata, dia bergegas ke jeti nelayan itu selepas mengetahui mengenai program jualan ikan terbabit.

“Hari ini saya borong banyak ikan tongkol sebab mahu menyediakan nasi dagang lebaran nanti.

“Selain itu, saya juga membeli sotong dan ikan cencaru untuk dijadikan juadah berbuka,” katanya.

Ibu kepada lima anak itu berharap program sebegitu diadakan pada masa akan datang bagi membantu golongan pertengahan sepertinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 4:07 PM