PATI warga Indonesia yang melalui jalan belakang pulang ke negara asal sempena Aidilfitri ditahan APMM.
PATI warga Indonesia yang melalui jalan belakang pulang ke negara asal sempena Aidilfitri ditahan APMM.
Mohd Sabran Md Sanidan Mohd Hafizee Mohd Arop


KAWASAN pesisir Hutan Melintang di sini, membabitkan 10 laluan tikus dipercayai masih menjadi laluan untuk sindiket membawa keluar pendatang asing tanpa izin (Pati) Indonesia pulang ke negara asal.

Jika dulu, laluan ini juga dipercayai menjadi laluan masuk kumpulan Pati ke negara ini dari kawasan pesisir Tanjung Balai, Indonesia yang berkedudukan 37 batu nautika iaitu empat hingga lima jam perjalanan.

Namun, kini hasil penguatkuasaan bersepadu, laluan terbabit hanya digunakan untuk keluar saja dan buktinya 43 Pati ditahan dalam Op Landai pada 8 Mei lalu ketika cuba menggunakan laluan di Parit 14, Hutan Melintang untuk keluar.

Dalam operasi dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu (1), Kampung Acheh itu, 43 Pati membabitkan 29 lelaki, 12 wanita, dan dua kanak-kanak ditahan ketika berkumpul di kawasan semak paya bakau.

Difahamkan, selain laluan di Parit 14 itu, beberapa lagi laluan tikus iaitu di Parit 21, Parit 17, Parit 4, Bagan Pasir, Bagan Lipas Laut dan Sungai Batang turut menjadi laluan mereka untuk keluar.

Sumber berkata, anggota sindiket dipercayai menjadikan kawasan terbabit yang terletak berdekatan jeti atau pelabuhan serta tempat pendaratan ikan bagi memudahkan mereka keluar tanpa disedari pihak berkuasa.

Menurutnya, tindakan sindiket menggunakan laluan berdekatan jeti pendaratan ikan atau pelabuhan bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa kerana laluan itu digunakan oleh kapal dan bot pedagang.

“Kegiatan ini dipercayai dilakukan sekali atau dua kali dalam sebulan pada sebelah malam mengikut kesesuaian dan ditangguhkan jika menyedari adanya operasi dijalankan pihak berkuasa.

“Sepanjang tempoh itu, mereka ditempatkan sementara di rumah sewa atau di dalam ladang sawit serta semak di kawasan paya bakau bagi membolehkan kegiatan mereka tidak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Memerintah Markas Operasi PPM Wilayah Satu (1) Kampung Acheh, Deputi Superintendan Jafri Ahmad berkata, pihaknya bersama agensi lain sentiasa melakukan pemantauan di sekitar persisiran itu bagi mengelakkan aktiviti seperti itu terus berlaku.

“Di Hutan Melintang sekarang sudah tiada aktiviti membawa masuk Pati, yang ada baru-baru ini kita menahan PATI yang cuba keluar melalui jalan tikus dan operasi kita berterusan sepanjang masa.

“Mereka menggunakan laluan tikus dan akan menaiki bot di kawasan pesisir pantai Hutan Melintang untuk pulang ke negara mereka, tapi kita akan sentiasa pantau bagi mengelakkan ada yang berjaya lolos,” katanya.

Difahamkan, PPM akan mengadakan Program Pertemuan Di Laut (RV) dan Majlis Berbuka Puasa bersama Pasukan Polairud Indonesia di Perairan Selat Melaka pada 28 Mei ini bagi membincangkan beberapa perkara berbangkit berkaitan jenayah di perairan kedua-dua negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 6:00 AM