ANNUAR menyampaikan sumbangan kepada Abe Jali Salam Pantai Timur, di Kampung Naka, Bekelam.
Nor Amalina Alias


SEBELUM ini dia seorang yang ceria dan sering memenuhi jemputan sebagai pengacara majlis, namun kini nasibnya berubah 100 peratus selepas kaki kanannya dipotong akibat kencing manis kronik.

Itu nasib yang menimpa pelakon dan pelawak, Mohd Idris Ibrahim, 58, atau lebih dikenali dengan nama pentas sebagai Abe Jali Salam Pantai Timur yang terkenal dengan sitkom berdialek Kelantan pada 2007.

Lebih menyedihkan Abe Jali kini tinggal bersama ibunya, Mek Nab Samat, 80, selepas isterinya hilang tanpa khabar berita sejak dua bulan lalu.

Mek Nab berkata, sebelum kaki anaknya dipotong dari paras lutut ke bawah pada Julai tahun lalu, Abe Jali juga diserang angin ahmar beberapa bulan sebelum mengakibatkan dia mengalami masalah ingatan.

“Dulu orang kenal dia banyak bercakap, sekarang nak bercakap pun tak nak.

“Kalau rakan datang melawat, dia hanya senyum dan hanya orang tertentu dia masih kenal,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, Penyelaras Parlimen Bachok, Mohd Zain Yasim, Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) bersama Presidennya, Azran Fitri Abdul Rahim, Royal Guest House (RGH) dan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Kelantan, Muhammad Imran Mansoor melawat Abe Jali di Kampung Naka, Bekelam, di sini.

Melihat keadaan Abe Jali, hatinya seakan diguris pilu apabila dia seolah-olah putus harapan apabila enggan bercakap, hanya mahu terbaring dan jarang mandi serta hanya dibantu anak saudaranya, Mohammad Amir Ashraf Mohamed, 25, selain bergantung pada lampin pakai buang dan ubat-ubatan.

Ibu Abe Jali yang menghidap kencing manis hanya mengharapkan bantuan dua lagi anaknya untuk makan dan minum selain wanita itu juga hanya mengengsot untuk bergerak.

Sementara itu, Annuar berkata, pihaknya sangat simpati dengan nasib Abe Jali dan membawa keperluan makanan asas seperti beras, gula, minyak selain menghadiahkan baju raya dan telekung solat buat ibu Abe Jali.

“Kami juga akan bantu mengindahkan keadaan rumah ini dengan membawa orang mengemas rumah, pasang langsir dan tikar getah supaya Abe Jali serta ibunya dapat beraya dengan suasana yang ceria dan selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 6:30 AM