LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Muhamaad Razis Ismail


SEORANG lagi suspek yang merosakkan kereta milik wanita dalam kejadian di Bazar Buluh Kubu di Kota Bharu, ditahan hari ini.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di sekitar Kota Bharu pada 2 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, selepas kejadian itu, pihaknya menggerakkan usaha mengesan beberapa suspek yang terbabit.

Katanya, pada malam kejadian, polis berjaya menahan suspek pertama berusia 26 tahun di sekitar daerah ini.

“Pada 2 pagi ini, seorang lagi suspek berjaya ditahan dan permohonan reman untuk siasatan lanjut dibuat pagi ini.

“Pada masa sama, kita masih mengesan sekurang-kurangnya tiga lagi suspek untuk membantu siasatan.

“Kita minta individu ini menyerah diri di balai polis berhampiran dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Comunity Policing: Sumbangan Ramadan kepada Asnaf anjuran bersama PDRM dan Yayasan Amal Datuk Zul Wisma di Kampung Tanjong Badang, di sini, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan, wanita berusia 40 tahun berdepan detik cemas apabila kereta Toyota Camry ditendang dan dipukul dengan kayu serta besi oleh beberapa lelaki di sini.

Dalam kejadian 10.30 malam itu mengakibatkan cermin dan kenderaan wanita itu pecah hingga rugi RM5,000.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa bertolak ansur untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“Sekarang keadaan jalan raya memang sibuk dan orang ramai perlu sentiasa bertimbang rasa.

“Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan perkara bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

Berita berkaitan

Kereta wanita dipukul kayu, besi [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 12:40 PM