Balqis Jazimah Zahari
am@hmetro.com.my


PENGAMAL perubatan warga asing yang tidak berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMA) akan berdepan tindakan undang-undang kerana beroperasi secara tidak sah.

Ia kerana undang-undang jelas menyatakan mana-mana individu bukan doktor dan ahli farmasi tidak berdaftar boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 yang membawa denda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kementerian itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pengamal perubatan warga asing tidak berdaftar yang melakukan perniagaan di negara ini.

“Sesetengahnya sudah diambil tindakan, ini kerana semua pengamal perubatan harus berdaftar dengan MMA dan harus memiliki Sijil Amalan Tahunan Perubatan untuk tujuan praktis kerjaya masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Tahunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gunung Rapat di Ipoh, hari ini.

Boon Chye mengulas laporan akhbar Inggeris semalam yang mendakwa ada beberapa kedai di Kuala Lumpur yang beroperasi sebagai klinik dan farmasi secara rahsia.

Laporan itu mendakwa, premis haram berkenaan didapati aktif sekitar Jalan Silang di ibu negara dan dikendalikan oleh doktor dari Bangladesh, mengandungi pelbagai ubat-ubatan moden dan alternatif yang dibawa masuk dari negara Asia Selatan.

Boon Chye berkata, pihaknya akan melakukan serbuan terhadap premis perubatan itu sekiranya ia sudah dikenal pasti beroperasi secara haram dan menggunakan perkhidmatan pengamal perubatan dan ahli farmasi tidak berdaftar.

“Sudah tentu (kita akan melakukan operasi serbuan), kita akan melihat (secara serius) perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, kementerian itu sebelum ini ada menerima laporan mengenai kehadiran warga asing yang menawarkan perkhidmatan perubatan tradisional kepada rakyat negara ini.

“Ia membabitkan perubatan dari luar negara tetapi berasaskan perubatan tradisional, kita akan mengambil tindakan secara berkala kepada mereka yang terbabit. Saya tidak mempunyai data (mereka yang terbabit) ketika ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 1:06 PM