GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


HANYA kerana RM10, lelaki tergamak memukul ibunya menggunakan serpihan atap rumah di Mengabang Telipot, Kuala Nerus, Selasa lalu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12 tengah hari ketika warga emas berusia 70-an itu berada di rumah sebelum dihampiri suspek berusia 30-an.

Menurut sumber, suspek mula mengamuk selepas mangsa tidak memberikan wang RM10 seperti yang diminta.

Katanya, keengganan mangsa menyebabkan suspek memaki hamun dan memecahkan barangan yang ada di dalam rumah.

“Suspek yang hilang kawalan itu turut mengambil serpihan atap yang ada di perkarangan rumah lalu memukul kepala mangsa.

“Tindakan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala sementara suspek yang terkejut melihat keadaan mangsa segera melarikan diri,” katanya.

Sumber berkata, kejadian menimpa mangsa hanya disedari anak perempuan yang tinggal bersamanya selepas terdengar suara wanita itu meminta tolong.

Katanya, anak perempuan mangsa berusia 52 tahun membuat laporan di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (pindaan) 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 1:28 PM