Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


DUA kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku hari ini membabitkan dua lokasi berbeza yang mengakibatkan laluan Jalan Ringlet-Blue Valley dan Jalan Ulu Merah terhalang.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian pertama berlaku pada 6 pagi di kawasan kebun membabitkan Jalan Ulu Merah dan laluan terbabit kini terhalang dan ditutup bagi semua kenderaan.

“Luas kawasan yang terbabit tanah runtuh adalah kira-kira setinggi 15 meter dan sepanjang 10 meter.

“Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan laluan berkenaan kini ditutup bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya ketika dihubungi di Cameron Highlands, hari ini.

Menurutnya, tanah runtuh kedua pula dilaporkan pada 9.30 pagi tadi membabitkan Jalan Ringlet-Blue Valley dengan laluan yang terjejas berhampiran kuari batu.

“Hakisan tanah runtuh berlaku berhampiran kuari batu di jalan berkenaan dengan kawasan terjejas adalah seluas 32 meter namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Susulan kejadian itu, laluan berkenaan ditutup sepenuhnya untuk semua kenderaan sebelum dibuka satu lorong pada 12 tengah hari tadi dan kerja-kerja pembersihan masih dijalankan JKR,” katanya.

Ashari berkata, laluan yang terjejas itu tidak mempunyai laluan alternatif dan pihak berkuasa sudah berada di lokasi dan meletakkan papan tanda amaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 1:43 PM
ANTARA lokasi kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands. FOTO ihsan Polis