DUA pejalan kaki maut ketika melintas jalan di Kilometer 9.5 Jalan Johor Bahru - Kota Tinggi arah ke Kota Tinggi. FOTO Ihsan FB CRJ
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


DUA pejalan kaki maut ketika melintas jalan di Kilometer 9.5 Jalan Johor Bahru - Kota Tinggi arah ke Kota Tinggi di Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian 5.05 pagi itu, dua lelaki masing-masing warga emas berusia 61 tahun dan 67 tahun, parah di kepala dan badan sebelum maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, hasil siasatan mendapati pemandu kereta BMW sedang memandu dari arah pusat bandar menghala ke Kota Tinggi sebelum berlanggar dengan dua pejalan kaki itu.

“Apabila tiba di tempat kejadian, tiba-tiba dua pejalan kaki melintas jalan secara mengejut dari arah tengah pembahagi jalan ke seberang kiri jalan.

“Tindakan dua pejalan kaki ini menyebabkan pemandu kereta itu tidak sempat menekan brek dan mengelak.

“Akibat daripada itu, kedua-dua pejalan kaki tercampak dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kereta dipandu lelaki berusia 37 tahun itu mengalami pelbagai kerosakan di bahagian depannya, namun pemandunya tidak cedera.

Katanya, kedua-dua mayat pejalan kaki itu kemudian dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru, untuk bedah siasat

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 2:05 PM