Suasana di bazar Ramadan Simpang 4, Telok Pulai yang kecoh selepas peniaga memprotes tindakan pihak yang mengenakan bayaran tapak terhadap peniaga di kawasan itu. FOTO Tular
Siraj Mohd Zaini


LEBIH 100 peniaga di Simpang 4, Teluk Pulai, di Klang, boleh menarik nafas lega selepas kemelut tapak berniaga yang dihadapi sebelum ini selesai dan dibenarkan meneruskan perniagaan sehingga malam menjelang Syawal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, konflik mengenai perkara itu yang membabitkan isu bayaran tapak dianggap selesai selepas kata putus dicapai bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK), semalam.

Katanya, isu berkenaan tercetus berikutan adanya pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mahu mengaut keuntungan dengan menetapkan harga bayaran kepada semua peniaga.

“Peniaga ini sudah berniaga lebih tiga tahun tetapi ia tidak ada kebenaran atau pengawasan dari mana-mana pihak.

“Perniagaan seperti kasut budak, baju, bundle yang tidak memberi keuntungan besar dan mencari pendapatan sampingan menjelang Syawal,” katanya kepada pemberita selepas Program Jom Jelajah Singgah Sahur DUN Pendamaran dan Pelabuhan Klang, di sini, awal pagi hari ini.

Turut hadir ADUN Pandamaran, Leong Tuck Chee.

Azmizam berkata, pihaknya sudah berbincang mengenai perkara itu dengan peniaga serta MPK bagi menyelesaikannya.

“Kita minta peniaga akur dengan apa yang ditetapkan MPK dan kita juga sudah bincang dengan MPK supaya benarkan peniaga berniaga.

“Kita tidak mahu peniaga ini ditindas dan dalam masa sama kita tahu MPK menjalankan tugas mereka,” katanya.

Kelmarin, pergaduhan hampir tercetus selepas ada pihak memaksa peniaga berkenaan membuat bayaran tapak setiap malam.

Bagaimanapun difahamkan, bayaran yang dikenakan tidak pernah dibincangkan selain MPK sendiri tidak mengetahui perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 2:11 PM