LELAKI Bangladesh yang maut akibat terhidu gas beracun. FOTO Ihsan Bomba
Farah Suhaidah Othman


LELAKI Bangladesh, maut manakala dua lagi termasuk lelaki tempatan tidak sedarkan diri dipercayai akibat terhidu gas beracun di stesen minyak di Kilometer 6 Jalan Ipoh - Lumut di Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa berusia 30-an yang identitinya belum dikenal pasti ditemui tidak sedarkan diri ketika melakukan kerja penyelenggaraan dalam saluran gas bawah tanah di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Sharudi Muhamad Halil berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam pada 7.40 malam.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi ketiga-tiga mangsa didapati berada dalam keadaan tidak sedarkan diri

“Kesemua mangsa dikeluarkan orang awam dari saluran gas berkenaan.

“Anggota bomba memberi bantuan pernafasan kepada seorang daripada mangsa namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


DUA mangsa terhidu gas beracun yang diselamatkan pasukan paramedik. FOTO Ihsan Bomba

Sharudi berkata, dua lagi mangsa iaitu seorang lelaki tempatan dan lelaki Bangladesh dalam keadaan tidak bermaya.

“Susulan kejadian itu, kita meminta bantuan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Pasir Puteh bagi menjalankan pemeriksaan dan mengesan serta mengenal pasti gas dalam saluran berkenaan.

“Mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya.

Katanya, mangsa yang tidak sedarkan diri pula dihantar ke hospital sama menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 11:22 PM