SEORANG peniaga yang menjual murtabak di pasar Ramadan di sekitar Jerantut.

Roselan Ab Malek

LEBIH 20 gerai menjual murtabak tumbuh bak cendawan di sekitar daerah ini setiap kali tiba Ramadan sehingga digelar daerah ini oleh orang ramai sebagai ‘bandar murtabak’.

Murtabak Jerantut bukan saja popular dalam kalangan penduduk tempatan, sebaliknya turut menarik perhatian pengunjung dari luar kerana kesedapannya berbanding di tempat lain.

Pengusaha Murtabak Ferry, Abdul Ukhairi Abu Musa Saa’ri, 44, berkata, keenakan murtabak daerah itu didapati di pekan sehari, pasar malam serta ada kedai khusus menjual makanan itu seperti yang diusahakannya.

“Saya menggunakan resipi dan ramuan sendiri. Walaupun harga berbeza-beza dan bergantung kepada saiz, namun, permintaan diterima cukup tinggi terutama setiap kali Ramadan,” katanya.

Selain Murtabak Ferry, antara yang terkenal di daerah ini ialah Murtabak Fauzi, Murtabak Syed, Murtabak Manja, Murtabak Saufi, Murtabak Sopi dan Murtabak Sabri.

Seorang pengunjung dari Temerloh, Azrai Ahmad, 59, berkata, setiap kali ke Jerantut, dia pasti membeli murtabak di sini.

“Murtabak Jerantut lebih sedap berbanding di tempat lain kerana dagingnya yang banyak, penuh ramuan dan rempah ratus yang enak.

“Jadi, tidak hairanlah kenapa ramai orang memesan membeli murtabak setiap kali berkunjung ke sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 6:00 AM