MERAKAM memori di dalam Gua Bewah ketika aktiviti ekskavasi dilakukan menjadikannya sebagai antara individu terawal melihat keunikan gua berkenaan.
Hafiz Ithnin


“Saya masih simpan wang bayaran RM34.40 daripada pelanggan untuk menjadi pemandu pelancong selama empat hari itu,” katanya mengimbau kembali kisah sekitar 12 tahun lalu ketika beliau baru mendapat lesen di dalam bidang berkenaan.

Tambah lelaki berusia 39 tahun itu lagi, dalam tempoh empat hari itu, dia diupah untuk menjadi pemandu pelancong sebuah organisasi tempatan bagi meneroka Hutan Lata Belatan di Besut, Terengganu.

“Dalam tempoh empat hari itu, macam-macam aktiviti yang saya sediakan seperti menerokai hutan dan aktiviti tali tinggi di kawasan air terjun. Sebaik habis aktiviti saya menerima sampul surat berisi wang dan tidak langsung membukanya sehingga tiba di rumah.

“Ketika itu, rasa terkejut apabila melihat jumlah bayaran yang diberikan itu hanya RM34.40. Padahal mereka tahu caj standard yang dikenakan oleh kami sebagai pemandu pelancong alam semula jadi,” katanya.

Pengalaman Mohd Khairul Abu Bakar atau lebih mesra disapa Khairul itu bagaimanapun tidak mematikan semangatnya untuk terus berada di dalam bidang berkenaan sehingga ke hari ini. Malah, ketika ditanya mengenai pendapatan paling tertinggi yang pernah diraihnya, jawapannya cukup ringkas tetapi membuatkan mata penulis bulat seketika.

“Empat hari, saya dibayar RM16,000 daripada pelancong bukan dari luar negara tetapi tempatan,” katanya.

Duduk selama dua jam bersamanya, kisah mengenai pengalaman beliau sebagai pemandu pelancong alam semula jadi begitu berwarna-warni. Paling indah, pastinya apabila beliau dinobatkan sebagai Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Terbaik Tourism Malaysia 2012 dan 2013.

Pertama kali bertemu dengan Mohd Khairul semasa Program Lawatan Media ke Tasik Kenyir bersama Tourism Malaysia, membuatkan penulis tertanya-tanya apakah kelebihan beliau sehingga meraih anugerah berprestij itu?

Sebenarnya, tugas beliau sebagai pemandu pelancong bukan sekadar pada jawatan selepas berjaya menduduki ujian khusus dalam bidang itu pada 2007, tetapi usahanya untuk mendalami bidang itu, ternyata beliau layak menerima anugerah berkenaan.

Jika anda pernah mengunjung Tasik Kenyir, pastinya nama Gua Bewah antara lokasi tarikan yang terdapat di sana dan menariknya mengenai lokasi itu adalah ia penuh dengan kisah manusia prasejarah.

Minat Mohd Khairul di dalam bidang pelancong eko turut membabitkannya sebagai seorang pekerja ekskavasi di Gua Bewah bagi mencari pelbagai jawapan mengenai kisah manusia prasejarah di lokasi berkenaan.

Sambil menunjukkan foto peribadi yang disimpan di dalam tablet, jelas membuktikan kisahnya bukan sekadar pemanis mulut untuk meyakinkan tetamu mengenai kredibilitinya. Malah, berada di dalam gua itu selama dua minggu seorang diri untuk kerja ekskavasi membuatkan penulis begitu kagum dengan kesungguhan beliau di dalam kerjaya.

Mohd Khairul berkata, pada 2009 pihak arkeologi yang melakukan kerja ekskavasi di Gua Bewah membuat tawaran kepada orang ramai yang berminat untuk menyertai aktiviti itu.

Katanya, memandangkan aktiviti itu mampu memberi pengetahuan tambahan kepadanya sebagai pemandu pelancong, dia menawarkan diri dan perlu melalui ujian untuk dipilih sebagai pekerja ekskavasi.

“Ketika ujian dijalankan, kami perlu mempunyai pengetahuan asas mengenai aktiviti arkeologi dan juga paling penting ialah kepakaran dalam bidang taktikal yang boleh membantu pengkaji melakukan kerja mencari gali.

“Memandangkan saya aktif dengan aktiviti lasak seperti mengendalikan tali tinggi, menyelam skuba dan meneroka hutan, kemahiran itu amat diperlukan oleh mereka untuk membantu proses ekskavasi,” katanya.

Menceritakan cabaran ketika melakukan kerja ekskavasi seorang diri selama dua minggu, dia berkata, pelbagai pengalaman menarik termasuk menjumpai pelbagai tinggalan manusia prasejarah termasuk rangka manusia berusia 16,000 tahun yang dikenali sebagai ‘Bewah Man’.

“Di dalam gua ini terdapat pelbagai lagi khazanah misteri yang masih belum habis diteroka termasuk pintu-pintu gua yang masih tersembunyi. Sehingga kini, saya masih menjalankan kerja mencari pintu-pintu rahsia berkenaan.

“Saya rasa begitu puas dapat menyertai aktiviti ini kerana apabila membawa pelancong, saya boleh menceritakan secara terperinci termasuk hasil kajian yang dilakukan oleh pihak arkeologi,” katanya.

Namanya sebagai pemandu pelancong ekopelancongan di Malaysia bukan sesuatu yang asing kerana khidmat beliau dicurahkan bukan saja kepada kumpulan korporat atau individu ternama, tetapi sudah biasa menyantuni golongan istana yang ingin menerokai alam semula jadi.

Ketika ditanya mengenai masa depan bidang itu, katanya, ketika mula membabitkan diri, dia juga tidak menyangka bahawa kerja sebagai pemandu pelancong mampu menjadi sebuah kerjaya.

“Bermula sebagai atlit sukan tempur negara dari 1993 sehingga 2007 dan dalam masa sama menyambung pembelajaran dalam Pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Komputer di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2002.

“Kemudian, saya menjadi pensyarah di sebuah kolej. Memandangkan bidang ini boleh menjadi satu kerjaya, akhirnya saya berhenti sebagai pensyarah dan terus memegang status sebagai pemandu pelancong pelancongan eko sehingga ke hari ini,” katanya yang juga Setiausaha Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semula Jadi Terengganu (TENAGA) sejak 2008 hingga kini.

Sebelum mengakhiri perbualan, dia memberitahu pemandu pelancong alam semula jadi bukan satu pekerjaan yang hanya menunjukkan arah laluan dan menghafal maklumat mengenai sesuatu lokasi, tetapi ia perlu ada jiwa menggali ilmu untuk menjadi pemandu pelancong yang berpengetahuan.

“Seperkara lagi, pendapatan dalam bidang ini setaraf dengan pekerja profesional yang lain,” ujarnya menguntum senyuman penuh makna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 6:30 AM