Safuri Kamarudin


TITIPAN Kasih Harian Metro (TKHM) memberi kenangan terindah kepada penduduk Kampung Ulu Tawar, Mukim Bakai, di Baling, semalam.

Mereka menyifatkan program itu yang terbesar dan bersejarah kepada mereka kerana dirai dengan begitu mesra dan memberi manfaat kepada penduduk.

Setiap penerima yang menerima sumbangan barangan keperluan dapur, wang ringgit dan pakaian raya tetap gembira sekali gus menceriakan mereka untuk menyambut Aidilfitri tahun ini.

Malah, lebih 1000 penduduk turut teruja apabila dapat berbuka puasa bersama-sama di perkarangan Masjid Al-Hidayah kampung berkenaan.

Seorang penerima, Mek Na Dolah, 66, berkata, inilah julung kalinya dia dapat merasai program yang besar diadakan di kampungnya pada bulan yang mulia ini.

Dia berkata, bukan hanya mendapat sumbangan barangan dapur tetapi turut menerima wang untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Saya bersyukur dipilih menerima sumbangan itu dengan barangan yang banyak dan wang tunai.

“Ini membuktikan keprihatinan pihak berkenaan membantu golongan yang tidak berkemampuan,” katanya.

Melalui Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sudah memilih 250 penduduk di kampung itu termasuk ibu tunggal, orang miskin, anak yatim serta miskin bagi menyambut hari raya dengan gembira tahun ini.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Asri Tuan Hussein berkata, tahun ini mereka akan menyambut hari raya dengan lebih meriah.

“Golongan tidak berkemampuan perlu dibantu supaya mereka juga dapat merasai suasana hari raya dengan meriah terutama anak yatim dan miskin.

“Insya-Allah setiap tahun kita adakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu golongan berkenaan, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 10:29 AM
ANAK yatim dan golongan asnaf bergambar bersama barang sumbangan yang diterima. FOTO Amran Hamid