X
FATIMAH melihat anaknya, Mohd Azizi, di rumah mereka. FOTO Ramli Ibrahim
FATIMAH melihat anaknya, Mohd Azizi, di rumah mereka. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


BIARPUN jiran lain sibuk membuat persiapan untuk menyambut 1 Syawal, namun seorang warga emas ini tetap setia menjaga anak lelaki sulungnya yang lumpuh.

Fatimah Sulaiman, 71, tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Jeram Tekoh, dekat Gua Musang, berkata, dia tidak sanggup menyambut Aidilfitri selagi anaknya Mohd Azizi Abas, 39, itu terlantar akibat lumpuh selepas terbabit kemalangan tujuh tahun lalu tidak sembuh.

“Sejak kemalangan itu, mak cik dah tujuh tahun melupakan segala persiapan menyambut hari lebaran itu kerana lebih penting jaga keperluan anak sulung mak cik yang lumpuh.

“Kalau mak cik tidak menjaganya siapa lagi yang sanggup berbuat demikian kerana empat lagi anak bekerja di luar Kelantan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, dia bimbang siapakah yang akan menjaga anaknya itu sekiranya umurnya tidak panjang.

“Anak mak cik ini memang ada isteri dan dua anak tetapi mereka tidak pernah menjenguknya selepas dia terbabit dalam kemalangan jalan raya di Triang, Pahang pada tahun 2012.

“Empat anak mak cik sendiri juga jarang pulang ke kampung dan jika balik pun musim perayaan setahun sekali dan mak cik bersama Azizi sepanjang masa,” katanya.

Katanya, anaknya menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan, namun hanya cukup belanja beli lampin pakai buang.

Terdahulu, Fatimah dan anaknya menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusof yang turut menghulur sumbangan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kegigihan seorang warga emas yang terpaksa menjaga anaknya yang lumpuh.

Dalam kejadian lapan tahun lalu, Azizi bekerja sebagai pemandu lori di Triang dan terbabit kemalangan jalan raya hingga tidak sedarkan diri, ketika pulang dari kerja dengan memandu kereta.

Azizi menerima rawatan di sebuah hospital di Ipoh, dan doktor yang merawatnya mengesahkan harapan untuk sembuh tipis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 11:46 AM