ANTARA sarang dadah yang diserbu polis. FOTO ihsan Polis
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


POLIS Kota Kinabalu gempur lima lokasi dipercayai dijadikan sarang penagihan dan pengedaran dadah dalam beberapa siri operasi sepanjang minggu ini.

Operasi yang bermula 18 Mei lalu itu berjaya menahan 54 individu berusia antara 14 hingga 64 tahun atas pelbagai kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi itu dilakukan di Kampung Cenderamata 2, Kampung Air, Lorong Keleto, Pekan Inanam dan Kampung Tanjung Aru.

“Dalam tempoh itu, seramai 54 orang tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk bekalan dan pengedaran dadah, memiliki dadah dan didapati sebagai penagih.

“Turut dirampas sebanyak 9.25 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM138.50 mengikut harga semasa,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Katanya lagi, semua individu ditahan serta disiasat mengikut kesalahan masing-masing iaitu Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Habibi berkata, pelbagai siri operasi itu adalah antara inisiatif Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mengekang masalah dadah dan jenayah di kawasan berkenaan.

“Usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar daerah ini akan dipertingkat dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam.

“Orang ramai juga turut dialu-alukan memberi maklumat berkaitan kegiatan jenayah narkotik dalam usaha membanteras jenayah ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 12:06 PM