Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


PENOREH getah dihukum penjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu kerana merogol anak tirinya berusia 13 tahun, dua bulan lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 46 tahun mengaku salah terhadap tuduhan.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap bapa saudara mangsa berusia 41 tahun terhadap kesalahan mencabul kanak-kanak itu pada 2013.

Mengikut pertuduhan, bapa tiri mangsa didakwa merogol kanak-kanak berusia 13 tahun 11 bulan itu di dalam bilik di sebuah rumah tidak bernombor di Machang, pada 6 petang, 11 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Bapa saudara mangsa pula didakwa mencabul kanak-kanak terbabit yang ketika itu berusia lapan tahun di sebuah rumah di Machang, antara 4 petang hingga 6 petang, antara Januari hingga Disember 2013.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana daripada dua seksaan itu.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahan dan keluarga miskin.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli memohon hukuman penjara yang boleh memberi pengajaran terhadap tertuduh.

“Tertuduh dalam kes ini adalah bapa tiri dan bapa saudaranya yang sepatutnya menjadi pelindung kepada mangsa bukan mengambil kesempatan.

“Malah mangsa dalam kenyataan impak mangsa mengakui masih trauma dan tertekan susulan kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 12:21 PM
TERTUDUH dibawa ke mahkamah. FOTO Zaman Huri Isa