Norasikin Daineh


“SAYA kelu tidak terkata dan hanya mampu menangis apabila pengumpulan dana untuk kos sampingan pemindahan buah pinggang anak sudah mencukupi,” kata Nur Azurra Fitriana Wong Abdullah, 38, ibu kepada kanak-kanak, 9, yang mengalami kegagalan buah pinggang.

Nur Azurra berkata, dia berjaya mengumpul dana kira-kira RM30,200 untuk kos sampingan pemindahan buah pinggang anaknya, Nahsyeem Ezuan Khalid, melalui derma kitafund.com dan selepas kisahnya dilaporkan melalui Harian Metro dan Berita Harian, Selasa lalu.

“Selepas dua minggu saya mula mengumpul dana, jumlah sasaran telah dicapai dan oleh itu, saya mohon untuk menghentikan kutipan derma ini kerana tidak mahu masalah lain akan timbul sekiranya ia diteruskan.

“Walaupun saya sudah maklumkan untuk hentikan sumbangan dana melalui akaun Facebook saya, namun masih ada yang menghubungi mahu memberikan sumbangan namun saya sudah jelaskan kepada mereka bahawa sasaran jumlah kutipan telah mencukupi. Tetapi sekiranya mereka ikhlas menyumbang, saya terima dengan hati yang terbuka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Nur Azzura berkata, banyak cabaran yang terpaksa ditempuhinya sepanjang tempoh mengumpulkan dana untuk anaknya.

“Ini kerana, hanya keluarga dan rakan terdekat saja yang tahu apa yang saya hadapi dan semuanya saya simpan sendiri.

“Malah selepas kisah ini disiarkan, saya juga turut menerima kecaman daripada seorang doktor pakar namun Alhamdulillah masih ramai lagi yang prihatin dan ingin membantu termasuk ada seorang wanita mahu mendermakan buah pinggangnya tetapi saya menolak dengan baik kerana bimbang dengan kesihatannya yang sedang hamil lima bulan,” katanya.

Nur Azzura berkata, dia telah berjumpa dengan doktor yang merawat anaknya dan turut diterangkan berhubung proses yang perlu dilalui di mana ia akan mengambil masa yang lama termasuk perlu stabilkan dahulu keadaan pesakit.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak atas bantuan dan dana yang diderma sama ada melalui kitafund.com, melalui akaun saya serta mereka yang menemui saya terus untuk memberikan sumbangan.

“Sumbangan ini saya akan manfaatkan sepenuhnya untuk kos yang terlibat secara langsung atau tidak langsung demi kesihatan anak saya,” katanya.

Terdahulu, ibu tunggal ini memerlukan sebanyak RM30,000 bagi membiayai kos sampingan untuk pemindahan buah pinggang anaknya yang akan dilakukan Hospital Kuala Lumpur (HKL) nanti.

Walaupun kos untuk pemindahan buah pinggang untuk anaknya adalah percuma namun terdapat kos lain yang perlu difikirkan termasuk kos penginapan penderma dan penjaga, pengangkutan dan lain-lain kos sepanjang tiga hingga enam bulan rawatan dijalankan di ibu negara.

Berita berkaitan:

  • Rayuan ibu demi pulihkan anak
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 1:22 PM