GAMBAR hiasan.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


KERAJAAN akan mewujudkan Sistem Pangkalan Data (DBS) bagi memudahkan usaha mengenal pasti mereka yang layak memiliki rumah mampu milik (RMM).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, sistem itu dapat mengelak berlaku pertindihan permohonan serta mengelak mereka memiliki RMM buat kali kedua.

Beliau berkata, DBS dijangka akan disiapkan pada akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Kita melihat sistem ini amat efisien dan berkesan, sekali gus dapat mengenal pasti mereka yang layak ditawarkan RMM.

“Melalui sistem ini, pemohon boleh mendaftar secara atas talian sebelum maklumat mereka dimasukkan ke dalam sistem itu,” katanya ketika program Iftar Pakatan Harapan Dungun bersama Komuniti di Dewan Politeknik Sultan Zainal Abidin Dungun, malam tadi.

Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, sebelum ini, pihaknya banyak menerima rungutan orang ramai yang kecewa apabila terpaksa menunggu berpuluh tahun untuk mendapatkan RMM selain ada diberikan kepada mereka sudah memiliki rumah sebelum ini.

“Jadi kita lihat DBS ini sangat penting bagi mengelak perkara sebegitu kerana hasrat kerajaan hari ini mahu menyediakan rumah terbaik kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.

“Saya meminta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri supaya dapat menyerahkan data permohonan RMM di kawasan masing-masing.

“Data itu nanti akan dapat kita masukkan ke DBS, sekali gus dapat memudahkan kerajaan menawarkan rumah kepada pemohon dengan lebih pantas,” katanya.

Sementara itu, Raja Kamarul Bahrin berkata, kerajaan akan menggabungkan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) serta Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di bawah satu bumbung.

“Melalui gabungan itu, ia dilihat cara terbaik dan berkesan untuk menyelaraskan pembahagian rumah ini kepada mereka yang layak termasuk kepada kakitangan kerajaan.

“Sebanyak 38,000 unit RMM dikhususkan kepada golongan berpendapatan rendah sudah siap dibina dan menunggu masa untuk diagihkan.

“Setakat ini, sebanyak 158,000 unit sedang dalam pembinaan manakala 164,000 unit dalam perancangan mengenal pasti tapak serta lokasi yang sesuai untuk pembinaannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 12:08 AM