HARUN (dua dari kanan) dan Ahmad Kamil (kanan) bersama Dr Hassan (tiga dari kanan). FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi universiti awam pertama di Malaysia melantik dua penuntut menjadi ahli Senat, semalam.

Penuntut yang dilantik sebagai ahli Senat itu ialah Harun Osman yang sedang menuntut dalam bidang Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) dan penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Ahmad Kamil Makhtar.

Dua lagi iaitu penuntut Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa Ahmad Suffian Mohd Dalizan dan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan Ain Syazana Zolkepli pula dilantik sebagai pemerhati dewan.

Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, pelantikan itu adalah langkah strategik UniSZA bagi menyahut seruan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang mahu memberi nafas baru dalam proses student empowerment.

“Kami melantik dua penuntut sebagai ahli Senat universiti, manakala dua lagi sebagai pemerhati yang terdiri dalam kalangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA.

“Tempoh lantikan mereka selama dua tahun atau sehingga tamat pengajian dan UniSZA bercadang untuk melantik lebih ramai lagi ahli Senat dalam kalangan penuntut mengikut keperluan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Senat Bulanan UniSZA, semalam.

Sementara itu, Ahmad Kamil berkata, dia berasa sungguh bertuah kerana diberi peluang menjadi ahli Senat UniSZA.

“Terharu bercampur dengan gugup apabila menjadi penuntut pertama dilantik sebagai ahli Senat dan berikrar akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin.

“Pemilihan ini secara tidak langsung memberi pengalaman baru kepada saya dan tiga rakan lagi selain dapat membina jati diri sebagai seorang pemimpin,” katanya.

Bagi Harun pula, dia tidak menyangka diberi kepercayaan oleh UniSZA untuk memegang peranan penting sebagai ahli Senat itu.

“Ia bukan saja peluang tetapi penghargaan dan kepercayaan UniSZA kepada penuntut sekali gus memberi motivasi serta perangsang kepada kami.

“Peluang yang diberikan ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sekali gus memberi peluang kepada penuntut lain untuk merasai pengalaman bersidang di dewan mesyuarat senat UniSZA,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 4:30 AM