BEBERAPA pengemis yang ditahan dalam operasi bersepadu di Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


“ELAUN bulanan yang diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan tidak cukup untuk menampung kos hidup menyebabkan saya terpaksa menjual tisu sebagai sumber pendapatan,” kata pengemis warga tempatan, Rahimin Abdul Rahman, 49.

Menurut Rahimin yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan, walaupun kerap ditangkap pihak berkuasa, dia tiada pilihan kerana punca rezekinya hanya dengan menjual tisu di Pasar Besar Siti Khadijah sejak lebih 10 tahun lalu.

Katanya, sejak isterinya meninggal dunia dua tahun lalu disebabkan kencing manis, dia kini terpaksa berulang-alik bersendirian dari rumah sewanya di Jelawat, Bachok ke Kota Bharu dengan menaiki bas setiap tiga atau empat hari seminggu.

“Saya bukan mengemis, tetapi wang bulanan yang diperoleh daripada JKM RM400 tidak cukup kerana perlu membayar sewa rumah RM170 sebulan selain bil utiliti dan makan minum.

“Dengan keadaan mata saya yang tidak dapat melihat menyebabkan saya sukar mendapat pekerjaan dan hanya mampu menjual tisu untuk mencari duit tambahan.

“Dalam sehari saya memperoleh RM50 dan jika ada individu yang prihatin, mereka hanya memberi sedekah dan tidak mengambil tisu yang dijual,” katanya yang tidak mempunyai anak ketika ditemui di Pejabat JKM Kota Bharu selepas diselamatkan dalam Operasi Bersepadu Menyelamatkan Pengemis di sini, semalam.

Operasi berkenaan membabitkan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dan JKM.

Seorang kanak-kanak warga Thailand, Solehah Mat Ali, 12, pula berkata, dia ke negeri ini bersama ibu dan ayahnya sejak seminggu lalu untuk menjual kerepek di kaki lima bank di sekitar bandar Kota Bharu.

“Saya mengemis bukan sebab dipaksa mak atau ayah, tetapi atas kerelaan sendiri untuk membantu mereka mencari wang untuk membeli baju raya untuk adik yang masih kecil.

“Setiap kali datang ke sini, saya akan mengayuh basikal sendirian dari rumah sewa kami yang terletak berdekatan Masjid Muhammadi untuk menjual kerepek bermula jam 9 pagi hingga lewat petang,” katanya.

Difahamkan, Solehah sudah dua kali ditangkap pihak berkuasa iaitu kali pertama pada bulan lalu selepas dia dilihat menjual kerepek berseorangan di kaki lima sebuah bank di bandar Kota Bharu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JKM Negeri Azman Mat Zain berkata, seramai 15 pengemis termasuk dua kanak-kanak terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing diselamatkan dalam operasi berkenaan.

“Daripada jumlah itu, tiga pengemis warga tempatan diselamatkan dan mereka ditahan sementara di Rumah Seri Kenangan di Taman Kemumin dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 6:01 AM