PEGAWAI Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor memeriksa wanita warga asing disyaki GRO dan pekerja premis sewaktu serbuan di pusat karaoke di Damansara, hari ini. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


BERHIBUR sambil dibelai gadis seksi warga Laos dan Vietnam.

Itu ‘keistimewaan’ ditawarkan kepada pelanggan yang mahu berhibur di pusat karaoke di Jalan SS 8/3, Damansara, Petaling Jaya.

Bagaimanapun, tindakan itu terbongkar apabila premis hiburan terbabit diserbu pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Dalam serbuan bermula 12.30 tengah malam itu, pasukan D7 IPK Selangor menahan 66 individu termasuk wanita warga asing disyaki pelayan pelanggan (GRO), pekerja premis dan pelanggan pusat karaoke terbabit.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, serbuan dilakukan susulan risikan dan maklumat berhubung kegiatan premis itu yang dikesan menggunakan khidmat GRO warga asing.

Katanya, hasil serbuan pihaknya menahan 22 wanita warga asing membabitkan 20 warga Vietnam dan dua warga Laos.

“Semakan mendapati semua warga asing itu tiada permit dan menyalahgunakan pas lawatan.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati terdapat 20 pekerja di premis berkenaan membabitkan 16 warga tempatan termasuk seorang wanita dan selebihnya adalah lelaki warga Bangladesh.

“Semakan awal mendapati empat pekerja Bangladesh terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.

Azmi berkata, pihaknya turut menahan 24 pelanggan premis terbabit bagi membantu siasatan.

“Hasil soal siasat mendapati pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat wanita warga asing terbabit perlu membayar RM120 untuk seorang GRO.

“Menerusi pakej itu, wanita GRO terbabit akan melayan pelanggan selama tiga jam.

“Semakan mendapati premis terbabit mempunyai lesen tetapi mereka melakukan kesalahan menggajikan warga asing tanpa permit,” katanya.

Jelasnya, kesemua 66 individu terbabit di bawa ke Balai Polis Sunway untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 39B Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1) C dan Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 8:51 AM