KEADAAN dapur warga emas selepas gas memasak meletup sehingga mengakibatkan dia cedera dalam kejadian di Flet Seri Pauh, Permatang Pauh, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Hadzlihady Hassan


WANITA warga emas cedera selepas gas memasak meletup di rumahnya di Flet Seri Pauh, Permatang Pauh, hari ini.

Dalam kejadian 5 pagi itu, mangsa yang berusia 78 tahun dikejarkan ke hospital oleh ambulans selepas terkena serpihan barang akibat letupan kecil itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri berkata, pihaknya menerima panggilan 5.27 pagi.

“Sejurus tiba, kita dapati ada kebocoran gas hingga menyebabkan berlakunya letupan kecil.

“Pemeriksaan mendapati cermin di bahagian dapur, kabinet dan pintu pecah akibat letupan itu,” katanya.

Menurutnya, operasi tamat 7 pagi dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 9:52 AM