GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengenal pasti 12 pusat rekreasi di negeri ini yang berisiko berlaku kejadian lemas dan kepala air yang perlu diberi tumpuan sepenuhnya terutama ketika cuaca tidak menentu ini.

Antara lokasi terbabit termasuklah empat kawasan sungai iaitu Sungai Korok di Jitra, Sungai Sedim di Kulim, Sungai Pedu di Kuala Nerang dan kawasan peranginan Titi Hayun di Yan.

Selain itu, Taman Tasik di Kulim juga antara lokasi berisiko selain tiga lokasi air terjun iaitu di Telaga Tujuh dan Air Terjun Temurun di Langkawi serta Air Terjun Bukit Hijau di Baling.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, selain itu, empat lagi lokasi peranginan seperti Pantai Cenang di Langkawi serta Pulau Songsong di Yan dan dua pulau iaitu di Pulau Dayang Bunting serta Pulau Tuba di Langkawi turut berisiko tinggi.

Beliau berkata, setakat ini 11 kes lemas direkodkan membabitkan kematian sepanjang tahun ini.

“Antara kes yang besar pernah berlaku membabitkan kematian tiga mangsa akibat lemas di Sungai Pedu, awal tahun ini dipercayai akibat kepala air.

“Kita nasihatkan, bila nampak cuaca mendung dari atas bukit atau gunung selain air keruh dan ranting banyak dalam air, pengunjung perlu segera meninggalkan kawasan itu kerana ia adalah antara petanda akan berlakunya kepala di kawasan itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di JBPM Suka Menanti, di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohamadul Ehsan menasihatkan semua pengunjung supaya mengawasi diri masing-masing supaya mandi di kawasan tidak bahaya untuk mengelakkan tragedi menimpa ketika musim perayaan ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya ombak besar yang diramalkan berlaku dua hari sebelum sambutan Aidilfitri ini.

Beliau berkata, berikutan itu seramai 700 anggota tetap dan 185 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) akan dibekukan cuti bermula 29 Mei hingga 12 Jun ini untuk melakukan tugas dan rondaan pada musim perayaan ini termasuklah di kawasan pusat peranginan di negeri ini.

“Hanya 10 peratus anggota dibenarkan bercuti untuk menyambut Aidilfitri manakala selebihnya bekerja seperti biasa.

“Selain terbabit dengan Ops Raya, anggota akan turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi fenomena ombak besar terutama dan kawasan pantai selain akan memindahkan penduduk sekiranya hujan lebat berterusan yang boleh menyebabkan banjir kilat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 10:15 AM