MUHAMMAD Nabil Ashraf Abdullah, 32 (kiri) mengaji al-Quran sambil diajar oleh penghuni di Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA). FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


MUALAF sanggup berhenti kerja dan melepaskan jawatan sebagai pembantu pengurus di kedai buku di Pulau Pinang sejak dua tahun lalu bagi mendalami agama Islam sebagai persediaan untuk bekalan akhiratnya nanti.

Muhammad Nabil Ashyraf Abdullah, 32, berkata, sudah 11 tahun dia memendam perasaan untuk memeluk Islam, namun disebabkan beberapa kekangan selain belum bersedia menyebabkan dia terpaksa melupakan niatnya itu.

“Alhamdulillah pada Ogos 2017, saya diberikan hidayah serta petunjuk oleh Allah SWT dan melafazkan dua kalimah syahadah di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.

“Sebulan selepas memeluk Islam, saya berpindah ke Kelantan dan mula belajar mengenai Islam di Madrasah Pengajian Islam (MPI) di Kok Lanas, Kota Bharu, atas cadangan seorang ustaz di pejabat agama Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA), Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan, di Kok Lanas, di sini.

Muhammad Nabil Ashyraf atau nama sebenarnya Isaac Ong Chen Yang berkata, sebelum memeluk Islam, dia dapat merasakan hidupnya terlalu kosong sehingga terdetik di hati dan terfikir sampai bila dia akan terus menjalani kehidupan seperti ini yang seolah-olah tidak mempunyai tujuan.

“Sepanjang hidup ini, saya dikelilingi dengan rakan Melayu dan sering melihat bagaimana kehidupan orang Islam yang dilihat berbeza daripada agama lain yang dinilai melalui pandangan mata kasar.

“Sejak memeluk Islam, hanya ibu seorang sahaja yang mengetahui perkara itu kerana berasa curiga melihat perbuatan saya selepas setahun memeluk Islam dan Alhamdulillah ibu boleh menerima agama baharu yang saya anuti sekarang,” katanya.

Katanya, selepas ayahnya meninggal dunia empat tahun lalu, ibunya itu kini tinggal bersendirian di rumah di Pulau Pinang.

“Bagi meyakinkan ibu mengenai Islam, saya kini mengambil mata pelajaran Pendidikan Islam dan Tasawur dalam peperiksaan ulangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara persendirian tahun ini supaya berpeluang melanjutkan pengajian lebih tinggi dalam bidang agama.

“Saya berharap, satu hari kami dapat belajar mengenai Islam bersama-sama,” kata anak tunggal itu.

Dalam pada itu, Muhammad Nabil Ashraf berkata, jika tahun lalu dia hanya mampu berpuasa 15 hari sahaja di bulan Ramadan, namun tahun ini dia berharap dapat menyempurnakan ibadat itu selama sebulan dengan sempurna.

“Saya masih lagi belajar buku Iqra tahap empat dan mendapat pertolongan daripada rakan di sini untuk membaca al-Quran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 12:05 PM