Gambar Hiasan


EMPAT lelaki yang juga ahli kumpulan kongsi gelap Double Seven dan Geng 30 ditahan polis di sekitar Banting, Selangor, Sabtu lalu, selepas didapati terbabit dalam kegiatan pemerasan terhadap pengusaha lori.

Dalam kejadian 3 petang 17 Mei lalu itu, mangsa lelaki berusia 27 tahun dipaksa membayar wang perlindungan bulanan kepada kumpulan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, antara yang ditahan lelaki dikenali sebagai Abang Long Balang dan Lan Taro.

“Seorang pengusaha lori menerima maklumat pekerjanya ditahan sekumpulan lelaki dekat Olak Lempit, Banting, sebelum dia ke tempat kejadian dan berjumpa dengan ketua kumpulan itu yang memperkenalkan diri sebagai Abang Long Balang.

“Abang Long Balang mengugut mencederakan mangsa dan memaklumkan pengusaha lori terbabit perlu membayar wang setiap bulan sebagai wang perlindungan,” katanya ketika ditemui di Ampang hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dipaksa masuk ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda dan diperkenalkan kepada seorang lagi lelaki dikenali sebagai Lan Taro.

“Ketika itu mangsa dipaksa membayar RM18,000 dan jika tidak patuh, suspek bersama gengnya akan membakar dan memecahkan semua lori mangsa dan lori rakan kongsinya,” katanya.

Fadzil berkata, susulan kejadian, mangsa membuat laporan polis 25 Mei lalu sebelum polis membuat tangkapan ke atas empat lelaki berusia antara 32 hingga 42 tahun di kawasan Banting.

“Suspek utama Abang Long Balang dikenalpasti bekas anggota polis yang dibuang kerja dan seorang lagi dikenali sebagai Lan Taro.

“Beberapa suspek lain dikenalpasti dan polis mengarahkan mereka untuk hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Fadzil berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku ahli kumpulan kongsi gelap Double Seven dan Geng 30 yang terbabit dalam kegiatan pemerasan terhadap pengusaha lori di sekitar Banting dan daerah berdekatan.

“Mereka yang menjadi mangsa diminta tampil membuat laporan bagi membantu siasatan kerana kami mahu menghentikan kegiatan samseng seperti ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 12:13 PM