Hasanuddin (kiri) menunjukkan antara barangan termasuk pistol yang dirampas daripada suspek. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali


POLIS merampas 1,751 kilogram (kg) daun ketum dan sepucuk pistol dalam dua serbuan berasingan masing-masing di Kampung Baru Jalan Malaysia, Jeli serta Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang semalam.

Dalam serbuan di Jeli 6 pagi, polis merampas 173 bungkusan daun ketum bernilai RM26,280 dan di Rantau Panjang 12.20 tengah malam merampas sepucuk pistol serta air ketum berjumlah RM150.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, serbuan di Jeli oleh bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, polis menahan sebuah lori Hicom putih dinaiki dua lelaki menerusi tugas rondaan cegah jenayah.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam kenderaan menemui sebotol berisi air ketum dan pemeriksaan lanjut di belakang lori menemui 173 bungkusan plastik berisi daun ketum.

“Kita menahan dua lelaki yang juga penganggur berusia 20 dan 35 tahun serta salah seorang daripada mereka mempunyai dua rekod lampau.

“Siasatan awal mendapati bekalan daun ketum itu diperoleh dari Sik, Kedah untuk pasaran sekitar Pasir Mas. Muatan ini juga dipercayai kali kedua dibawa dari negeri itu bagi bulan ini.

“Dua suspek itu disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, namun mereka dibebaskan selepas membayar ikat jamin RM17,000 seorang di mahkamah hari ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah hari ini.

Beliau berkata, serbuan di Rantau Panjang, pihaknya merampas 15 bungkusan plastik berisi air ketum, tiga parang dan sehelai baju hujan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipercayai digunakan untuk penyamaran.

Menurutnya, serbuan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Pasir Mas di sebuah kedai sebelum menahan lelaki berusia 29 tahun bersama sepucuk pistol dan tiga peluru terletak di pinggang.

“Hasil ujian saringan air kencing, suspek yang juga buruh didapati positif amphetamine dan ada lima rekod lampau berkaitan dadah.

“Suspek direman enam hari bermula semalam mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 1:00 PM