BOMBA mengusung mayat mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


LELAKI yang hilang ketika memancing di Sungai Kedah, berhampiran Kampung Berjaya di Taman Mahawangsa, Alor Setar, semalam, ditemui lemas hari ini.

Mayat mangsa berusia 40-an ditemui pada jam 10.21 pagi oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa ditemui dalam lingkungan lima meter dari tempat dia terjatuh pada kedalaman kira-kira empat meter.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang pengenalan diri mangsa ditemui.

“Operasi disertai enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, dua pegawai kanan JBPM Kedah dan dua anggota polis.

“Setakat ini masih tiada laporan dari mana-mana balai polis berkaitan ahli keluarga yang hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan itu mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Harian Metro semalam melaporkan, lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ketika memancing ikan di Sungai Kedah berhampiran Kampung Berjaya, Taman Mahawangsa, Jalan Putra.

Lelaki itu dipercayai terjatuh jam 5.30 petang. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dilakukan anggota BBP Alor Setar dan PPDA JBPM Kedah di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 1:31 PM