X
TUJUH warga Bangladesh yang ditahan. FOTO NSTP
TUJUH warga Bangladesh yang ditahan. FOTO NSTP
Hasbi Sidek


NIAT tujuh warga Bangladesh untuk masuk ke negara ini secara haram tidak kesampaian apabila mereka ditahan berhampiran sebuah resort, dekat Tanjung Sepat, di Kuala Langat, sebaik mendarat di pantai berkenaan awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, pasukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih yang menjalankan Op Nyah 1 mengesan sebuah teksi berhampiran resort berkenaan dalam keadaan mencurigakan, namun melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis dipercayai mahu mengambil warga asing berkenaan.

Komander PGA Tengah, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, pihaknya percaya warga asing berkenaan masuk ke negara menggunakan jalan laut dan baru sahaja mendarat.

“Bertindak atas maklumat risikan penyeludupan pati, sepasukan anggota dari Pos Tanjung Sepat dan Pasukan Tindakan Cepat (QRF) Tek Morib membuat pemerhatian serta rondaan kawasan di Tanjung Sepat, Tanjung Layang dan kawasan Ladang Bedfort.

“Ketika tiba di kawasan resort dekat Tanjung Sepat, pasukan kami terserempak dengan sebuah teksi dengan nombor pendaftaran tidak dikenalpasti berhenti di tepi jalan kawasan tempat rumah penginapan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukannya rapat ke bahagian sisi kenderaan berkenaan untuk memperkenalkan diri namun, pemandunya bertindak memecut teksi itu meninggalkan lokasi.

“Pasukan curiga dan bertindak membuat pemeriksaan di dalam kawasan resort berkenaan sebelum menemui tujuh lelaki disyaki warga Bangladesh bersembunyi di kawasan semak.

“Kami meminta dokumen dan pengenalan diri. Dua daripada warga asing itu menyerahkan pasport, namun kesemua gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Semua warga asing itu masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan. Kami menahan semua lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 2:17 PM