Rumah didiami pasangan suami isteri selepas disyaki mendera anak mereka sehingga mati di Kampung Batu 19 3/4, Guar Chempedak. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


“MEREKA jarang keluar dan bergaul dengan jiran tetangga tetapi rumah mereka kerap dikunjungi orang luar, mungkin rakan,” kata jiran kepada lelaki yang mendera sehingga mati anak tirinya di Batu 19 3/4, Guar Chempedak, Yan, kelmarin.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Yusof, 70, berkata, lelaki yang dipercayai mendera itu adalah anak saudaranya tetapi hubungan mereka tidak rapat.

Menurutnya, anak saudaranya itu baru berkahwin dengan wanita beranak dua itu sejak setahun lalu.

“Wanita itu mempunyai dua anak dengan dua perkahwinannya sebelum ini dan anak sulungnya kerap pergi ke rumah neneknya di Sungai Daun.

“Saya tak pernah dengar tangisan kanak-kanak sebelum ini cuma ketika akhir hayatnya mereka beritahu dia diserang sawan sebab tu tak bunyi menangis,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia dipercayai didera sehingga mengalami kecederaan dalaman akibat dipukul dengan objek tumpul oleh bapa tiri.

Muhammad Aqil Hairi Mohd Azrul, 2, ditemui terbaring di lantai dapur rumah.

Bapa tiri mangsa berusia 28 tahun membawa mangsa ke hospital dan doktor mengesahkan terdapat kesan penderaan sebelum lelaki itu ditahan polis.

Yusof berkata, dia hanya mengetahui kanak-kanak itu meninggal dunia apabila melihat polis datang ke rumah pasangan itu yang terletak 50 meter dari rumahnya dari malam ke siang untuk mencari bahan bukti.

Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan mangsa meninggal dunia akibat didera.

“Saya sedih sebab budak-budak biasalah, nakal tapi jangan sampai buat macam tu (dera),” katanya.

Dia berkata, mereka sekeluarga menyerahkan kes itu kepada polis kerana sebelum ini suspek pernah beberapa kali keluar masuk penjara dipercayai akibat dadah.

Sementara itu, jiran kepada pasangan itu yang enggan dikenali berkata, dia tidak menyangka lelaki itu tergamak mendera anak tirinya kerana sebelum ini dia nampak sayangkan kanak-kanak itu.

Katanya, selalunya tiap petang, lelaki itu akan membawa anaknya bersiar-siar dengan motosikal dan hubungan mereka nampak sangat rapat.

“Pasangan itu tak rapat sangat dengan jiran, jadi kami pun tak ambil tahu sangat apa yang mereka buat hinggalah kanak-kanak ini meninggal dunia,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Suami isteri direman kes dera anak

Kanak-kanak dua tahun didera hingga mati

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 3:31 PM