Kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 13.5 Jalan Ipoh-Lumut berhampiran simpang ke Batu Gajah Perdana. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


ENAM parah, dua cedera dan dua lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 13.5 Jalan Ipoh - Lumut, berhampiran simpang ke Batu Gajah Perdana, Batu Gajah malam tadi.

Kemalangan membabitkan sebuah lori, dua kereta dan sebuah motosikal dengan keseluruhan 10 mangsa berusia lima tahun hingga 44 tahun dalam kejadian 11 malam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Camry melanggar motosikal Yamaha 135LC yang memasuki simpang di lokasi berkenaan.

Menurutnya, akibat pelanggaran Itu, kereta terbabit hilang kawalan lalu terlanggar belakang lori sebelum terbabas memasuki laluan kanan dan merempuh Proton Wira.

“Pemandu Toyota Camry berusia 26 tahun cedera paha kanan manakala tiga penumpangnya cedera termasuk penumpang hadapan remaja perempuan berusia 19 tahun parah serta tidak sedarkan diri.

“Pemandu Proton Wira, lelaki berusia 35 tahun bersama tiga ahli keluarganya parah termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Adnan berkata, penunggang motosikal lelaki berusia 40 tahun yang dirempuh juga parah dengan mengalami patah tangan kiri manakala pemandu lori berusia 44 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Lokasi kemalangan adalah jalan lurus dengan garisan berkembar serta simpang tiga dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 5:22 PM