Gambar Hiasan
Hadzlihady Hassan


LELAKI sanggup membelasah sahabatnya sehingga patah tulang muka, hidung dan bengkak kepala dalam kejadian di Lorong Sek Chuan, Georgetown, Sabtu lalu, dipercayai angkara hutang lama.

Dalam kejadian 3.35 pagi itu, mangsa yang berusia 44 tahun dan suspek berusia 54 tahun sedang minum arak bersama sebelum mereka bertengkar.

Ketika kejadian, ada dua lagi lelaki berusia 28 serta 34 tahun minum bersama mereka sebelum berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa yang kemudian bertukar kecoh.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, suspek ketika itu bertanya kepada mangsa mengenai hutang namun mangsa tidak mengendahkannya.

Menurutnya, mangsa tidak melayan pertanyaan suspek kerana hutang itu sudah lama membuatkan suspek berang dan terus memukulnya menggunakan gelas sehingga parah.

“Mangsa ditemui dalam keadaan separuh sedar terbaring berlumuran darah berhampiran hotel oleh anggota polis yang melakukan rondaan.

“Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang dan hasil siasatan lanjut polis berjaya menahan tiga lelaki 4 petang, semalam,” katanya.

Che Zaimani berkata, semua mereka yang bekerja sebagai ahli perniagaan itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Seorang daripada suspek mengaku memukul mangsa yang juga rakan baiknya manakala dua lagi suspek memberitahu mereka hanya berada di lokasi kejadian.

“Suspek juga memberitahu yang dia memukul mangsa kerana masalah hutang lama antara mereka dan polis masih menunggu untuk merakam keterangan mangsa yang kini masih dalam keadaan lemah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 2:07 PM