Laporan portal berita Harian Metro
Mohd Izham Unnip Abdullah dan Suzianah Jiffar


KEMATIAN spesies badak sumbu Sumatera jantan terakhir di negara ini dikenali Tam semalam dikenal pasti berpunca daripada kegagalan jantung hidupan liar itu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata, hasil bedah siasat awal haiwan itu mendapati kegagalan jantungnya bermula daripada masalah kerosakan buah pinggang.

Beliau berkata, bedah siasat mendapati Tam mengalami kerosakan buah pinggang kanan berdasarkan penemuan batu dan kesan bengkak bernanah dalam organ itu.

“Bedah siasat dijalankan Dr Zainal Zahari Zainuddin (penjaga Tam) dan pasukannya selepas kematian Tam tengah hari semalam. Proses itu berterusan sehingga malam.

“Masalah paling ketara yang dikesan ialah buah pinggang kanan Tam mengandungi banyak batu dan kesan bengkak bernanah (abses).

“Abses di buah pinggangnya berpunca daripada jangkitan saluran kencing yang sebelum ini dirawat menggunakan antibiotik intravena,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

Christina berkata, masalah itu menyebabkan penghasilan darah dan organ lain terjejas selain saluran darah utama abdomen pecah sekali gus menggagalkan fungsi jantung dan paru-paru.

Beliau berkata, beberapa tisu badan Tam turut diambil untuk pemeriksaan bakterialogi dan histopatologi yang akan dibuat di makmal bebas.

“Keputusannya mungkin mengambil masa beberapa minggu. Mengenai usia sebenarnya, tidak diketahui.

“Usia yang kita siarkan adalah berdasarkan andaian selepas penangkapannya pada 2008,” katanya.

Tam yang berusia 35 tahun mati tengah hari semalam ketika bersama Dr Zainal Zahari yang menjaganya di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu.

Terdahulu, Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berharap kerajaan dapat bekerjasama dengan Indonesia mengenai program pembiakan badak sumbu dalam usaha menyelamatkan hidupan liar itu di Sabah.

Katanya, satu-satunya badak sumbu Sumatera yang masih tinggal dikenali sebagai Iman menjadi harapan untuk melaksanakan program berkenaan meskipun berdepan ketumbuhan dalam rahim.

“Iman berusia 25 tahun tetapi malangnya ia ada ketumbuhan dalam rahim yang agak besar ketika ditangkap pada 2014. Walaupun ada tumor, Iman masih menghasilkan telur yang dapat dituai.

“Pakar dari Institut Penyelidikan Zoo dan Hidupan Liar Leibniz, di Jerman akan membantu dalam penuaian telur.

“Telur itu boleh disenyawakan di makmal secara in vitro dengan sperma daripada badak jantan (Indonesia). “Embrio yang dihasilkan daripada proses ini kemudiannya ditanam kepada badak sumbu betina Indonesia,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Selamatkan 'Iman'

'Tam' sudah tiada...

Tam semakin tenat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 4:13 PM