Abdullah kanan) bersama Ramli menunjukkan rampasan daun ketum seberat 787 kilogram bernilai RM23,610 di Kampung Kedongdong, Meranti. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my

DUA beradik ditahan kerana memberi rasuah RM10,000 kepada seorang pegawai Batalion 9, Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di Kampung Kedondong, Meranti, Pasir Mas, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, dua beradik berusia 31 dan 32 tahun itu ditahan pada 6.45 petang kerana memberi sogokan untuk melepaskan diri daripada ditahan membabitkan rampasan daun ketum.

Katanya, suspek memberi rasuah kepada pegawai PGA berpangkat Inspektor yang membuat serbuan di sebuah rumah.

“Kita menahan dua beradik itu dan mereka kemudian diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintendan Ramli Poncho.

Beliau berkata, sebelum itu, sepasukan anggota PGA Batalion 9, Kuala Terengganu membuat serbuan di sebuah rumah di lokasi itu.

“Polis yang bertugas memperkenalkan diri sebagai pegawai polis kepada penghuni, namun mereka enggan membuka pintu dan tidak memberi kerjasama.

“Pintu dapur dipecahkan dan kita berjaya menahan empat lelaki yang berada di ruang tamu. Hasil pemeriksaan di lantai menemui bungkusan plastik yang mengandungi disyaki daun ketum berjumlah 727 kilogram.

“Pemeriksaan lanjut menemui 60 kilogram daun ketum yang berada di dalam sebuah kereta Perodua Myvi. Keseluruhan rampasan bernilai RM23,610,” katanya.

Menurutnya, ketika polis membawa empat lelaki berusia antara 31 hingga 41 tahun ke IPD Pasir Mas, datang seorang lagi lelaki dan menyerahkan wang sebanyak RM10,000 kepada salah seorang suspek yang juga adik lelakinya.

Katanya, mereka kemudian menyerahkan wang itu kepada pegawai polis untuk melepaskan diri sebelum mereka ditahan.

“Kita percaya sindiket ini aktif sejak seminggu lalu dan mendapat bekalan daun ketum dari utara tanah air serta akan memasarkan barang terlarang itu di sekitar Pasir Mas dan negara jiran dengan harga RM30 sekilogram.

“Mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 5:18 PM