GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


PELAJAR perempuan menjadi mangsa rogol rakan lelakinya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Geliga, Chukai, Jumaat lalu.

Kejadian dipercayai bermula apabila remaja berusia 13 tahun itu keluar dari rumah dengan menaiki kereta bersama suspek berusia 25 tahun pada 4.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, mangsa dan suspek sebelum itu bersiar-siar di sekitar bandar Kemaman sebelum mereka pergi ke rumah suspek.

Beliau berkata, difahamkan, mangsa bermalam di rumah suspek selama dua malam dan dirogol beberapa kali sebelum dihantar pulang ke rumahnya kira-kira 12 tengah hari Ahad.

“Pada masa sama, ahli keluarga mangsa yang mengesyaki sesuatu berlaku kepada anak mereka selepas beberapa hari tidak pulang ke rumah mula menyoal mangsa sebelum pelajar itu mengaku dirogol suspek.

“Susulan laporan dibuat di Balai Polis Chukai semalam, suspek ditahan di rumahnya pada 9 malam hari sama.

“Suspek yang tidak bekerja itu kini direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 5:28 PM