ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan tangan kanak-kanak yang tersepit pada mesin pembancuh simen. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


BUDAK lelaki terpaksa menahan derita hampir sejam selepas tangan kanannya tersepit pada mesin pembancuh simen di Kampung Hulu Kenderiang di Gerik, petang hari ini.

Tangan kanan, Muhammad Haniff Izzuddin Mohammad Zamrul, 8, tersepit hingga ke paras siku pada mesin pembancuh simen berkenaan.

Difahamkan, tangan kanak-kanak itu tersepit pada mesin pembancuh simen berkenaan ketika bermain di kawasan rumah yang dalam pembinaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 5.47 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik ke lokasi kejadian dan mendapati tangan kanan mangsa tersepit hingga ke paras siku pada mesin pembancuh simen.

“Mangsa cedera pada jari kelingking dan bomba bertindak menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit itu sehingga berjaya,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Menurutnya, selepas tangan mangsa berjaya dikeluarkan, kanak-kanak terbabit dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

“Operasi diketuai Kamarul Ariffin Abdul Ghani itu tamat pada 6.22 petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 8:54 PM