LUQMAN menderita penyakit buah pinggang kronik tahap akhir sejak 12 tahun lalu ditemani ibu, Yuraini dan ayahnya, Fikri di kediaman mereka di Kampung Pulau Gajah, Sabak. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


DALAM usianya yang masih muda, dia sepatutnya bebas melakukan aktiviti digemari, namun tidak bagi remaja ini yang menanggung derita selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik peringkat akhir sejak 12 tahun lalu.

Ibunya, Yuraini Che Wani, 42, berkata, anaknya, Luqman Fikri, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin di sini, menghidap penyakit itu ketika berusia setahun setengah selepas kerap demam, seluruh anggota badan membengkak selain perutnya juga membuncit.

Katanya, bimbang dengan keadaan itu, dia dan suaminya, Fikri Yaacob, 47, membawa anak mereka mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Ketereh sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.

“Dua bulan kemudian, anak saya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan membuang air dalam anggota badan dan dalam masa sama doktor menebuk buah pinggangnya untuk mengambil sampel isi bagi mengesan penyakitnya.

“Apabila anak disahkan menderita penyakit buah pinggang kronik, saya dan suami tidak mampu berkata-kata, malah berasa dunia menjadi gelap memikirkan nasib Luqman,” katanya ditemui di Program Ziarah Cakna Ramadan SMK Kemumin di rumahnya di Kampung Pulau Gajah, Sabak di sini, semalam.

Terdahulu, Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kemumin, Datin Seri Nor Azizah Sulaiman menyerahkan sumbangan kepada Luqman. Turut hadir, Pengetua SMK Kemumin, Norriha Abd Rahman.

Yuraini berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu mula menjalani rawatan dialisis ketika berusia sembilan tahun dan perlu mengulanginya setiap tiga kali seminggu di HRPZ II.

“Ada ketika anak ke hospital bersendirian dengan menaiki bas kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa. Pada luarannya, Luqman tabah dan mahu melawan penyakit namun keadaannya ketika ini semakin tipis apabila jantungnya mengecut selain kedua-dua buah pinggangnya tidak berfungsi.

“Bulan lalu, kesihatan Luqman semakin merosot dan kerap tidak hadir ke sekolah. Dalam tempoh itu dua kali dia dimasukkan ke hospital kerana sesak nafas.

“Sebagai ibu saya tidak henti berdoa supaya ada keajaiban buat Luqman namun sekiranya berlaku apa-apa kami tidak boleh melawan takdir Tuhan,” katanya.

Katanya, bagi menampung perbelanjaan, dia bekerja di kilang di Pengkalan Chepa sejak lima bulan lalu dengan pendapatan RM850 sebulan selepas suaminya yang bekerja sebagai buruh tidak dapat bekerja kerana menghidap sakit jantung.

Orang ramai yang ini menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Islam, 03036020519137 atas nama Fikri Yaacob atau boleh menghubungi Yuraini di talian 017-9612342.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 4:30 AM