ASIAH (tiga dari kanan) bersama Dr Hafiz (tiga dari kiri) pada sidang media Pembuli Siber di Kalangan Penjawat Awam di Seksyen 7, Shah Alam. FOTO Faliq Lajim


KIRA-KIRA 50 penjawat awam sektor kesihatan didakwa terbabit dalam kegiatan buli siber dan mengeluarkan komen berbaur fitnah di Facebook (FB).

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu hingga menjejaskan beberapa pegawai perubatan lain.

Peguam mewakili mangsa, Asiah Abd Jalil berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai perkataan buruk yang mempunyai elemen fitnah terhadap anak guamnya termasuk di akaun FB, Pseudoscience Watch (PW).

Katanya, seorang daripada mangsa adalah Dr Hafiz Sulaiman yang difitnah pada 2016 kerana memberikan nasihat kepada seorang ibu sehingga menyebabkan kematian bayinya.

“Ketika ini, kami masih dalam proses mengumpul butiran lanjut mengenai kenyataan fitnah yang dibuat. Selepas itu, kami akan meneliti komen 50 individu untuk tindakan selanjutnya.

“Selepas Aidilfitri, kami akan hantar notis tuntutan kenyataan fitnah ini kepada individu yang dipilih untuk mendesak permohonan maaf secara terbuka,” katanya pada sidang media Pembuli Siber dalam Kalangan Penjawat Awam di Seksyen 7 di sini, semalam.

Selain Dr Hafiz, turut menjadi mangsa adalah Datuk Dr Suriyakhatun dan Dr Norman Norawi.

Asiah berkata, tindakan diambil pihaknya mengikut undang-undang fitnah.

“Semua individu ini sudah ditemui namun mereka mendakwa tidak takut diambil tindakan kerana dilindungi seseorang,” katanya.

Sementara itu, Dr Hafiz berkata, ketika fitnah menyebabkan kematian dilemparkan ke atasnya, pihak berkenaan mendakwa akan membuat laporan polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lain-lain namun tiada tindakan hingga kini.

“Saya juga mengenali ibu (bayi) berkenaan dan beliau menafikan pembabitan dengan PW. Apabila saya jawab segala tuduhan PW, mereka kemudian menyerang ibu bayi berkenaan,” katanya.

Dakwanya, kes buli siber terancang itu sudah berleluasa sejak sekian lama dan membabitkan puluhan mangsa, malah kesannya sehingga menjatuhkan maruah dan kredibiliti serta menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap mangsa.

Katanya, keselamatan diri dan keluarga juga terancam apabila gambar peribadi dan ahli keluarga didedahkan kepada umum.

“Ada mangsa yang diekori, alamat rumah, nombor kad pengenalan serta plat kereta didedahkan kepada umum,” katanya yang memberitahu dia dan mangsa lain akan membuat laporan polis serta aduan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 5:00 AM