NAJIB ketika hadir selepas mahkamah berhenti rehat perbicaraan salah guna kuasa membabitkan dana SRC di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Murni Wan Omar


BEKAS Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman mengesahkan bahawa beliau ada berbincang dengan Yayasan 1Rakyat 1Malaysia (YR1M) yang mahu ‘meminjam’ akaun syarikat itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam prosiding perbicaraan kes pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Menurutnya, Pengarah Projek Yayasan Rakyat 1 Malaysia (YR1M), Dennis See Thuan Buan ada memaklumkan kepadanya mahu berbuat demikian.

“Saya tanya beliau, kenapa kami? Kami hanya syarikat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR). Bagaimanapun, See hanya menyatakan bahawa beliau hanya menurut perintah dan saya hanya mengikut arahan itu.

“Dana wang masuk, tetapi saya tidak tahu daripada siapa. Saya ingatkan daripada YR1M kerana mereka penyumbang utama. Ketika itu, saya berada di Belgium dan selepas pulang saya ditahan reman. Hanya selepas itu saya mengetahui melalui media bahawa ia adalah daripada akaun SRC International Sdn Bhd,” katanya.

Menurutnya, selepas dibebaskan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau bertanya kepada bekas Pengarah Urusan SRC, Nik Faisal Kamil Ariff berhubung perkara itu, tetapi hanya diberikan pengesahan tanpa sebarang penjelasan.

Terdahulu, saksi itu juga menafikan bahawa syarikat itu hanya digunakan sebagai transit untuk menyalurkan wang dana keluar.

Beliau juga mengesahkan bahawa wang dana dan geran diterima oleh IPSB tidak digunakan untuk tujuan politik.

Saksi ke-37 itu mengatakan ya apabila dicadangkan oleh Harvinderjit bahawa ia hanya digunakan untuk CSR.

Terdahulu, Dr Shamsul Anwar berkata, projek CSR yang dilakukan IPSB pada 2013 bukan disebabkan pilihan raya pada tahun itu, sebaliknya beliau mendakwa ia berlaku secara kebetulan.

Berhubung tiga akaun yang dimiliki oleh IPSB, Dr Shamsul Anwar mengatakan ia dilakukan atas nasihat Pengarah Kewangan IPSB, Datuk Abdul Aziz Ismail.

“Satu akaun digunakan untuk menerima dana yang kemudian dimasukkan ke dalam dua akaun lain untuk program CSR dan perbelanjaan operasi.

“Ia dilakukan supaya dana itu tidak bercampur-aduk antara satu sama lain,” katanya.

Menjawab soalan Harvinderjit, Dr Shamsul Anwar berkata, apabila projek diluluskan mereka akan meyediakan cek sama ada menggunakan namanya atau membayar secara tunai.

“Ia adalah projek yang kecil (merujuk kepada projek membaiki rumah penduduk di Labis, Johor). Kebiasaannya pegawai daerah akan mengarahkan ketua kampung untuk mencari penduduk yang memerlukan bantuan. Hanya mereka berpendapatan rendah akan memperoleh bantuan itu.

“Kontraktor pula dipilih oleh ketua kampung sendiri, malah mereka mungkin hanya terdiri daripada tukang kayu saja dan bukan kontraktor kelas A,” katanya.

Terdahulu, Dr Shamsul Anwar memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak terbabit dengan perbincangan berhubung pemilihan projek, sebaliknya hanya menerima arahan daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Beliau turut mengakui bahawa perbincangan mengenai cadangan projek dibuat secara terus dengan Najib sama ada di pejabat (Najib), di rumah atau di pejabat IPSB.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 5:30 AM