MOHD Jukris (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada asnaf. FOTO Rosli Ilham
MOHD Jukris (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada asnaf. FOTO Rosli Ilham


YAYASAN PETRONAS menyampaikan sumbangan kepada 200 golongan asnaf sempena program Sentuhan Kasih Ramadan Yayasan PETRONAS 2019 di Dungun, semalam.

Naib Presiden Pengeluaran, Pembangunan dan Aset Malaysia PETRONAS, Mohd Jukris Abd Wahab berkata, setiap mereka menerima sumbangan barangan makanan termasuk duit raya bernilai RM300.

“Di Terengganu sahaja, seramai 330 golongan asnaf terpilih sebagai penerima sumbangan dan kita berharap ia dapat menceriakan mereka menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

“Sebelum ini, kita sudah menyampaikan sumbangan kepada 130 penerima di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang dan Batu Rakit pada awal dan pertengahan Mei lalu.

“Hari ini (semalam), sumbangan diberikan kepada 200 penerima dari kawasan DUN Paka dan Kemasik selain diraikan dalam majlis berbuka puasa.

“Selain itu, PETRONAS melalui anak syarikat PETRONAS Dagangan Berhad turut menyediakan juadah bubur lambuk sebelum diagihkan kepada pelanggan stesen minyak PETRONAS terpilih di sekitar Paka dan Kertih,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Sentuhan Kasih Ramadan Yayasan PETRONAS 2019 di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Tebing Tembah Paka, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dan Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah.

Mohd Jukris berkata, PETRONAS tidak pernah ketinggalan membantu mereka yang kurang berkemampuan sejak 2005.

“Program ini turut dijalankan di 13 buah negeri lain membabitkan seramai 2,800 orang penerima sempena menyambut perayaan Aidilfitri, Gawai dan Keamatan.

“Sumbangan dalam bentuk wang tunai, barangan keperluan rumah dan hamper berjumlah RM815,000 akan disampaikan kepada mereka.

“Ini adalah sebahagian daripada tumpuan kita demi kesejahteraan dan pembangunan komuniti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 10:24 AM