DRAM kabel logam tembaga bernilai RM130,000 yang dicuri lima lelaki. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


LIMA lelaki disyaki mencuri dram kabel logam tembaga bernilai RM130,000 milik kilang semikonduktor pelabur asing di kawasan perindustrian High Tech, Kulim, ditahan dalam beberapa serbuan bermula Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, kehilangan dua dram kabel itu disedari pengurus syarikat jam 3 petang, 22 Mei lalu.

Menurutnya, dia kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya sebelum pekerja am kilang terbabit berusia 26 tahun ditahan pada Jumaat lalu jam 6.30 petang.

“Lelaki itu berperanan mengalihkan gulungan kabel itu menggunakan forklift kilang ke dalam lori milik syarikat luar.

“Susulan itu, polis kemudian menahan suspek kedua berusia 27 tahun yang juga pemandu kren kilang terbabit di Jalan Pecah Batu, Serdang jam 2 pagi Sabtu lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Safuan berkata, kabel itu digunakan untuk kerja pendawaian dan ubah suai dalam kilang.

Beliau berkata, siasatan lanjut kemudian menahan suspek ketiga berusia 30 tahun di tepi Jalan Perusahaan Waja, Kulim Hi Tech jam 3 petang Sabtu lalu.

“Sebuah lori yang digunakan untuk mencuri kabel itu turut dirampas dan soal siasat suspek mengaku menjualnya di sebuah kedai barangan lusuh di Jalan Mengkuang, Butterworth, Pulau Pinang.

“Suspek yang berniaga kecil-kecilan juga memiliki rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil maklumat daripada suspek ketiga, polis kemudian menahan peniaga besi buruk berusia 34 tahun dan merampas sebahagian logam tembaga yang terlerai bersama resit jual beli di mana harga belian RM70,000.

“Suspek juga memiliki rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

“Kita turut menahan pengawal keselamatan kilang terbabit berusia 30 tahun jam 7.45 malam Ahad lalu bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 akta sama.

“Saya ingin menasihatkan pekilang sentiasa memantau pergerakan keluar masuk orang dan kenderaan yang membawa risiko kepada kehilangan secara sulit termasuk juga memantau tindak tanduk pekerja syarikat sendiri.

“Pastikan kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi dengan baik kerana menjelang musim perayaan ini juga penjenayah akan mengambil kesempatan atas cuti panjang kilang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 11:14 AM