Dziyaul Afnan Abdul Rahman


BURUH berusia 44 tahun direman seminggu bermula hari ini, bagi membantu siasatan atas dakwaan menampar bayi perempuan yang juga anak bongsunya sehingga mati, semalam.

Perintah penahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah, hari ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar berkata, penahanan ke atas suspek dilakukan di sebuah lokasi di Arau petang semalam.

“Suspek adalah warga tempatan, manakala isterinya yang warga Thailand tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.

“Malah perkahwinan mereka juga tidak didaftarkan di sini, selain anak bongsunya itu dilahirkan di Ranong, Thailand,” katanya ketika dihubungi.

Mushar berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan isteri suspek akan ditahan pihaknya bagi membantu siasatan.

“Kita tidak menolak kemungkinan untuk menahan isteri suspek kerana kes ini membabitkan pembunuhan bayi dan menarik perhatian banyak pihak.

“Malah, hasil pemeriksaan awal ke atas mayat mangsa oleh pegawai perubatan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) semalam juga mendapati tiada kesan kecederaan di tubuhnya.

“Jadi kita menunggu laporan penuh hasil bedah siasat daripada Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah sama ada hari ini atau esok,” katanya.

Harian Metro hari ini, melaporkan bayi perempuan berusia enam bulan maut selepas dipercayai dipukul bapanya yang juga pesakit mental di rumah mereka di Kampung Baroh, Padang Besar, semalam.

Suspek dipercayai bertindak demikian kerana berang dengan isterinya yang meminta lelaki itu mengambil ubat rutin psikiatri.

Berita berkaitan

Bayi maut ditampar bapa

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 12:37 PM