NAJIB ketika hadir di mahkamah. FOTO Hafiz Sohaimi
Murni Wan Omar


BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Datuk Azian Mohd Noh, 66, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa pinjaman diberikan kepada SRC International Sdn Bhd (SRC) selepas terdapat jaminan daripada kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di dalam prosiding perbicaraan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 65.

Menjawab soalan peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin yang mewakili Najib, saksi ke-38 itu berkata semua keperluan bagi mendapatkan pinjaman sudah dipenuhi oleh SRC oleh itu pinjaman diberikan.

MOHD YUSOF: Oleh kerana ia risiko kosong dan terdapat jaminan daripada kerajaan KWAP merasakan selamat untuk memberikan pinjaman?

AZIAN: Ya.

MOHD YUSOF: Adakah menjadi isu besar jika KWAP tidak mendapatkan jaminan rasmi daripada kerajaan sebelum membuat pembayaran pinjaman pertama berjumlah RM2 juta kepada SRC?

AZIAN: Saya tidak boleh komen. Ia hanya pendapat saya. Kami bersetuju untuk melepaskan bayaran pinjaman selepas terdapat surat jaminan daripada Kementerian Kewangan. Surat itu menyatakan bahawa kabinet sudah meluluskan jaminan kerajaan. Bagaimanapun adalah lebih baik jika kami menerima jaminan kerajaan itu sebelum pinjaman dilepaskan.

Terdahulu, Azian berkata beliau tidak ingat mengapa jumlah pinjaman diberikan kepada SRC dua kali ganda daripada jumlah yang dicadangkan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali apabila ditanya berhubung perkara itu.

MOHD NAZLAN: (Merujuk kepada kenyataan saksi) Saksi pergi berjumpa Najib bersama Pengerusi KWAP bagi memaklumkan bahawa KWAP hanya membenarkan pinjaman RM1 bilion. Tetapi pada perenggan seterusnya, secara tiba-tiba memaklumkan bahawa kertas pelaburan RM2 bilion dibentangkan (pinjaman diberikan KWAP kepada SRC). Keterangan saksi mula mula mengikut urutan kejadian dan tiba-tiba ia melompat dari RM1 bilion kepada RM2 bilion.


AZIAN: Saya tidak ingat urutan kejadian yang berlaku. Bagaimanapun saya ingat bahawa selepas itu terdapat mesyuarat Panel Pelaburan KWAP. Pengerusi KWAP menghubungi saya memaklumkan bahawa Najib menghubunginya meminta KWAP mempercepatkan pinjaman dan jumlah RM2 bilion sudah mencukupi.

Dalam keterangan beliau sebelum ini, Azian memberitahu mahkamah bahawa Jabatan Pendapatan Tetap KWAP hanya dapat menyediakan pinjaman berjumlah RM1 bilion berbanding RM3.95 juta yang diminta.

Menurutnya, ia selepas mengambil kira risiko pembayaran, risiko negara dan risiko industri memandangkan jumlah pinjaman yang tinggi.

Malah beliau turut menemui Najib bagi memaklumkan perkara itu dan selepas itu terdapat kertas Panel Pelaburan Khas disediakan dan di bawa ke mesyuarat untuk pertimbangan kelulusan pinjaman RM2 bilion kepada SRC.

Sementara itu, bekas Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Najib terkejut apabila dimaklumkan berhubung wang daripada SRC International Sdn Bhd (SRC).

“Selepas dibebaskan daripada tahanan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2015, saya pergi menemui Najib di rumahnya di Langgak Duta untuk bertanya berhubung perkara itu.

“Dari raut wajahnya, Najib kelihatan terkejut apabila mengetahui bahawa ada wang daripada SRC masuk ke dalam akaun peribadi miliknya. Beliau memaklumkan tidak tahu siapa yang memasukkan wang itu dan kenapa ia dilakukan melalui IPSB,” katanya.

Dr Shamsul dalam keterangannya mengakui mengenali dan rapat dengan Najib.

“Kami bertemu empat hingga lima kali setiap tahun selain sering berhubung melalui telefon dan aplikasi WhatsApp.

“Semua program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah program IPSB adalah idea Najib.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 12:50 PM